Mechamato terima anugerah Anime Fans di Tokyo

Mechamato harumkan nama Malaysia, terima anugerah Anime Fans di Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mechamato The Animated Series yang dihasilkan oleh syarikat animasi tempatan MONSTA berjaya mencipta sejarah sebagai animasi dari luar Jepun yang pertama memenangi anugerah berprestij Anime Fan Award di Tokyo Anime Awards Festival 2023.

Siri tersebut disahkan layak bertanding dalam kategori itu selepas mendapat sambutan menggalakkan di Cartoon Network Japan dan Netflix Japan, tahun lalu.

Pihak MONSTA berbesar hati menerima pengiktirafan dari Jepun iaitu sebuah negara yang terkenal dengan kekuatan industri animasi.

Sambil mengenakan Baju Melayu tradisional mewakili MONSTA di majlis anugerah di Tokyo, Pegawai Kreatif Utama MONSTA, Anas Abdul Aziz menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan melalui akaun Twitternya, baru-baru ini.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada setiap peminat yang mengundi kami dari seluruh rantau Asia Pasifik. Kami akan terus bekerja keras untuk membawa AniMY (animasi Malaysia) ke rantau lain di samping mengeksport budaya kita.

“Kami sangat gembira kerana Mechamato berjaya menawan hati penonton Jepun, terutamanya golongan kanak-kanak dan mereka yang berkeluarga,” katanya.

Ditanya perancangan MONSTA untuk memperkembangkan Mechamato di Jepun pada masa hadapan, Anas memberitahu ahli jawatankuasa temuduga TAAF, Takeuchi memaklumkan proses mengalih suara Mechamato Musim 2 telah selesai, manakala Mechamato Musim 3 kini dalam pembikinan.

Mechamato versi Bahasa Jepun yang disiarkan di negara matahari terbit itu menampilkan pelakon-pelakon dengan suara terkemuka seperti Ayumu Murase, iaitu suara untuk watak Hinata Shoyo dari Haikyuu!, Venti dari permainan mudah alih Genshin Impact, Kage dari Ousama Ranking – yang dipilih untuk menyuarakan watak utama, Amato.

Sementara itu, Yoshitsugu Matsuoka, yang menyuarakan watak seperti Inosuke dalam Demon Slayer, Xiao dalam Genshin Impact, Kirito dalam Sword Art Online – memainkan suara MechaBot, kawan robot Amato.

Sebelum ini, Anime Fan Award dimenangi oleh barisan peserta ikonik seperti Idolish Seven pada 2021 dan 2022, Uta no Prince-sama (2020), dan Yuri !!! On ICE (2017, 2018).

Mechamato Movie yang dibawakan oleh MONSTA dan Astro Shaw kini menduduki tempat teratas dalam kategori filem animasi tempatan dan dialih bahasa sepenuhnya ke Bahasa Inggeris untuk pasaran antarabangsa.

Naskhah itu kini ditayangkan di rangkaian pawagam seluruh Indonesia dan Singapura, selepas hampir 14 minggu ditayangkan di pawagam Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya