PUTRAJAYA: Sebuah syarikat animasi tempatan percaya berkemungkinan terdapat unsur pilih kasih dalam pemberian geran pembikinan animasi dalam kalangan juri penilai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Red Circle Studio Sdn. Bhd. yang menerbitkan siri animasi Robozeta, Mohamad Hafifi Johari berkata, secara jujurnya syarikatnya sendiri memohon Geran Dana Produksi daripada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) bagi pembikinan animasi beberapa kali dari tahun 2019 hingga 2021.
Namun, kata beliau, semuanya ditolak walaupun rayuan dibuat beberapa kali kepada pihak MDEC, tetapi gagal memperoleh dana seterusnya.
“Disebabkan itu kami terpaksa bergerak menggunakan duit sendiri untuk menerbitkan siri Robozeta sehingga masuk musim ketiga,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Animasi Malaysia, Amir Hazah Hashim mendedahkan syarikat-syarikat kecil industri animasi negara bakal gulung tikar berikutan gagal mendapat geran daripada MDEC untuk melaksanakan projek produksi.
Ini apabila hanya beberapa syarikat gergasi tertentu didakwa menerima geran berterusan MDEC untuk melaksanakan projek produksi, sedangkan ada sekurang-kurangnya 25 lagi syarikat pemula lain didakwa dinafikan hak untuk memperoleh bantuan tersebut.
Dalam pada itu, menurut Hafifi, MDEC memberikan alasan tidak masuk akal seolah-olah menafikan hak syarikat-syarikat kecil seperti mereka untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi yang sudah membina nama dalam industri itu.
Antara syarat tidak masuk akal yang ditetapkan bagi melayakkan menerima geran iaitu setiap karya mesti berstatus ‘antarabangsa’ bermaksud karya berkenaan perlu menembusi pasaran antarabangsa terlebih dahulu, sedangkan mereka baru bertatih dalam negara.
Ini termasuk syarat mewajibkan penerbitan filem terlebih dahulu sedangkan peluang menembusi stesen televisyen pun sukar diperoleh.
Mohamad Hafifi berkata, dakwaan wujudnya unsur pilih kasih yang memonopoli geran animasi mungkin ada benarnya memandangkan ada beberapa syarikat animasi besar yang sama, masih mendapat geran dari MDEC berulang kali.
Katanya, MDEC sepatutnya mempunyai modul perniagaan untuk menyokong setiap syarikat untuk bergerak dalam industri mengikut peringkat permulaan dan pertengahan tanpa selama-lamanya dibantu biarpun ada syarikat sudah pun berjaya ke peringkat tinggi.
“Takkan lah dalam 20 tahun kita hanya nak cipta dan bangunkan beberapa syarikat tertentu sahaja, sepatutnya wujudkan lebih banyak syarikat produksi dengan bantuan sewajarnya supaya ekosistem industri mampu berkembang.
“Ia sekali gus mampu memberi jaminan kerjaya kepada graduan universiti dalam bidang ini sekitar 5,000 graduan dilahirkan setiap tahun tetapi tidak ada tempat untuk membina kemahiran mereka,” katanya.
Pada masa sama, kata beliau MDEC perlu mempunyai inisiatif untuk menyelidik kemampuan setiap satu syarikat bagi melayakkan mereka mendapatkan geran tanpa hanya menolak mentah-mentah setiap permohonan.
Sebagai contoh, katanya, dengan melihat rekod terdahulu hasil kerja syarikat, merujuk kepada pelanggan yang pernah berurusan dengan syarikat itu, dan mungkin boleh membuat sesi lawatan untuk melihat sendiri kemampuan dan kelengkapan fasiliti syarikat.
Dalam hal itu, Hafifi mengharapkan agar MDEC lebih telus dalam memberikan geran-geran kepada syarikat-syarikat animasi.-utusan