MBS usaha ‘pecah’ kesunyian Seremban - Utusan Malaysia

MBS usaha ‘pecah’ kesunyian Seremban

ACARA persembahan termasuk kebudayaan yang diadakan pada penganjuran Malam Pesona Seni Sempena Ulang Tahun Ke-3 MBS di Jalan Yam Tuan, Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pusat bandar Se­remban yang sering dikatakan sebagai bandar sunyi tanpa ada daya tarikan akan diberikan lebih tumpuan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi dikunjungi orang ramai.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, untuk tujuan itu pihaknya akan lebih kerap mengadakan program berbentuk persembahan termasuk kebudayaan.

“Bandar Seremban memang sunyi jadi menerusi penganjuran program seperti acara Malam Pesona Seni ia dilihat dapat menghidupkan suasana bandar Se­remban ini.

“MBS juga berhasrat untuk menyediakan lebih peruntukan bagi mencantikkan bandar Serem­ban dengan mewujudkan lebih banyak taman rekreasi, ia bagi membolehkan warga Se­remban rasa lebih seronok, dapat menjalankan aktiviti rek­reasi dan meluangkan lebih ba­nyak masa di bandar ini,” katanya pada majlis Malam Pesona Seni sempena ulang tahun ketiga MBS di sini kelmarin.

Masri berkata, MBS juga akan mengeluarkan produk-produk baharu termasuk penyediaan pakej-pakej menarik sebagai usaha merancakkan aktiviti pelanco­ngan di bandar raya ini.

“Ia seperti gabungan pelancongan sejarah iaitu rumah-rumah tradisional di mukim Pantai yang turut mempunyai resort penginapan serta rangkaian restoran yang menampilkan juadah dan masakan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, bagi memastikan Seremban menjadi sebuah bandar raya yang selesa didiami, MBS mahu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada orang ramai termasuk berkaitan pengurusan aduan.

“Kami mahu menguruskan aduan secepat mungkin, ada beberapa perkara akan dilakukan untuk tujuan itu seperti mewujudkan unit khusus mela­yan dan bertindak menyelesaikan aduan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya