HULU TERENGGANU: Mayat seorang lelaki dalam keadaan reput ditemukan terapung di kawasan tongkang mesin sedut pasir di Sungai Terengganu, Kampung Gaung, Kuala Berang, di sini, hari ini.
Mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti berikutan tiada pengenalan diri pada tubuh serta pakaiannya dijumpai seorang pekerja warga Bangladesh yang kemudian memaklumkan kepada majikannya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Hasmerra Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.05 pagi dan sepasukan pegawai serta anggota ke lokasi kejadian bagi jalankan siasatan.
“Mayat yang ditemukan lengkap berpakaian sudah dalam keadaan reput dan dipercayai telah beberapa hari meninggal dunia.
“Pemeriksaan luaran pada badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, petang ini.
Tambah beliau, kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya lagi, usaha mendapat maklumat bagi mengenal pasti identiti mayat juga sedang dijalankan. – UTUSAN