Masalah air penduduk taman universiti makin serius

Masalah air 600 penduduk taman universiti makin serius

PENDUDUK Taman Universiti Jaya Fasa 2A berkumpul di hadapan menara tangki SADA di kawasan perumahan mereka yang berdepan masalah bekalan air di Semeling, Bedong, Sungai Petani. – MINGGUAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 600 penduduk di Taman Universiti Jaya Fasa 2A, Semeling, Bedong, di sini hidup dalam keadaan tertekan apabila masalah ketiadaan air yang dihadapi mereka sejak dua tahun lalu menjadi semakin serius sejak Februari lalu.

Wakil penduduk, Faez Abdullah, 37, berkata, terdapat sebuah tangki menara di Taman Universiti Jaya yang dibina pemaju untuk menyimpan air dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Katanya, disebabkan kekerapan masalah air sejak dua tahun lalu, penduduk mengadakan sesi dialog bersama SADA dan mencadangkan penyelesaian jangka pendek supaya syarikat itu menghantar air ke tangki tersebut.

“Cadangan kami diterima SADA, namun masalah air belum selesai apabila mereka memasang paip daripada tangki itu ke kawasan perumahan lama (Taman Universiti) pada Februari lalu menyebabkan penduduk di Taman Universiti Jaya Fasa 2A langsung tidak menerima air seperti yang diharapkan.

“Lori SADA akan hantar air ke tangki tersebut dalam tiga kali sehari namun air paip di rumah kami akan keluar dalam tempoh lima hingga 15 minit sahaja sehari,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang suri rumah, Norkamarulzitah Osman, 42, berkata, masalah air yang dihadapi mereka menyebabkan kos sara hidup penduduk yang kebanyakan daripada golongan B40 meningkat.

“Kami terpaksa beli air botol untuk minum dan kegunaan mengambil wuduk selain terpaksa makan di luar serta mencuci baju di dobi. Ada penduduk yang menjalankan perniagaan makanan dari rumah juga tidak dapat berniaga lagi kerana masalah air.

“Dalam keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang ketika ini, kehidupan kami terasa semakin terhimpit apabila ditambah dengan masalah air ini,” ujarnya.

Noor Amalina Johari, 38, berkata, masalah air yang dihadapi menyebabkan anak-anak mereka sering ponteng sekolah.

“Pelajaran anak-anak saya terganggu kerana terpaksa ponteng sekolah apabila kami langsung tidak terima air untuk mandi,” ujarnya.

Nursyazwani Mohd. Nazeri, 31, pula berkata, anak sulungnya yang berusia lapan tahun kerap kali jatuh sakit sejak masalah air itu berlaku.

“Anak saya kerap tidak sihat kerana air yang kami terima tidak bersih malah penapis air yang dipasang di rumah juga tidak boleh lagi digunakan ketika ini,” ujarnya.

Bagi, Azmi Azhar, 42, pihak berkuasa perlu  memandang serius masalah yang dihadapi penduduk kerana mereka juga berhak mendapat bekalan air bersih.

“Saya harap pihak SADA dan kerajaan ambil peduli dengan masalah kami supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya