GUA MUSANG: Pertubuhan Martabat Sejagat (Martabat) meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula arahan penutupan laluan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C.
Pada masa sama pertubuhan yang mewakili anak perantau di daerah ini turut membantah tindakan tersebut kerana laluan itu merupakan laluan utama Gua Musang-Kuala Lipis.
Setiausahanya, Mohd. Khairulhisham Norudin berkata, penutupan jalan itu akan menyebabkan kesesakan jalan raya yang luar biasa di samping mengganggu urusan seharian penduduk sekitar terutama musim perayaan yang bakal tiba nanti.
Menurutnya, tindakan menutup laluan utama pada tempoh tersebut juga dikhuatiri memberi kesan terhadap kelancaran perjalanan pengguna jalan raya terutamanya buat anak Kelantan di perantauan yang dijangka akan mula membanjiri daerah ini bermula 21 April nanti.
“Mengikut jangkaan kira-kira sejuta pengguna jalan raya akan menggunakan laluan utama jalan persekutuan berkenaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 23 April ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Khairulhisham memberitahu, Martabat mencadangkan pihak berkaitan memfokuskan kerja pemasangan cerucuk di laluan lain terlebih dahulu memandangkan penutupan yang dijangka berakhir pada hujung April tersebut berkemungkinan akan mengambil masa yang lebih panjang.
Katanya, buat masa ini terdapat banyak kerja-kerja masih belum dijalankan dan tidak yakin tempoh sebulan mencukupi untuk melakukan kerja berkenaan.
Sementara itu, memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Mohd. Suhaili Ismail di laman sosial Facebook berkata, pihaknya mengambil maklum kegusaran pengguna kesan penutupan jalan yang akan meningkatkan kesesakan di musim perayaan yang akan tiba nanti.
Katanya, penutupan laluan itu telah mengambil pertimbangan yang sewajarnya sebagai mitigasi untuk mengurangkan kesesakan memandang laluan tersebut terdapat beberapa ‘bottleneck’ (jalan sempit) kesan pembinaan jalan baru LTU.
“Jalan alternatif FT 008 yang lama lebih selesa dan luas untuk menampung pertambahan trafik di musim perayaan nanti.
“Kekhilafan dalam menyampaikan notis penutupan ialah dengan tidak memaklumkan situasi sebenar menyebabkan timbul persepsi negatif oleh pengguna jalan raya dari luar Gua Musang,” ujarnya.
Tambahnya, JKR Gua Musang akan mengeluarkan notis tambahan secara rasmi dalam masa terdekat.
Sebelum ini, JKR Jajahan Gua Musang dalam satu kenyataan berkata, laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (Bawah Flyover Taman Damar) akan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah.
Katanya, penutupan itu bermula kelmarin hingga 29 April dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.
Bagaimanapun, tinjauan mendapati laluan itu masih dibuka untuk pengguna jalan raya sehingga hari ini. – UTUSAN