PETALING JAYA: Tindakan kerajaan memansuhkan pelepasan cukai bagi penyimpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) menggagalkan usaha untuk menggalakkan penabungan pendidikan.
Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu juga meningkatkan kebergantungan rakyat kepada hutang untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.
Beliau berkata, kesan buruk langkah memansuhkan pelepasan cukai penyimpan SSPN itu akan mendorong anak muda terus dibelenggu hutang termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Kenapa anak muda dilayan sebegini? Pemansuhan pelepasan cukai ini menyerlahkan sikap anti-rakyat PH-UMNO dan membuktikan mereka ada dendam terhadap anak muda yang rata-rata memilih PN.
“Akibat tindakan PH-UMNO ini, anak muda akan terus bergantung kepada hutang PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan SSPN adalah insentif yang diusahakan semasa beliau menjadi Pengerusi PTPTN untuk menggalakkan rakyat menabung.
“Saya mahu penyelesaian jangka panjang agar anak bangsa kita tidak terbeban dengan hutang selepas graduasi. Penabungan awal adalah jawapan jangka panjang yang sebenar, sekiranya kerajaan tidak mahu memberikan pendidikan tinggi percuma.
“Jelas sekali apabila saya dan pegawai-pegawai PTPTN berjaya mendapatkan kenaikan pelepasan cukai menjadi RM8,000 bermula 2019. Ia menjadi salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan signifikan deposit SSPN. Tetapi langkah yang mesra rakyat inilah yang mahu dihapuskan oleh PH-UMNO,” katanya. – UTUSAN