Mangsa maut terkena tayar treler terpelanting sempat minta maaf - Utusan Malaysia

Mangsa maut terkena tayar treler terpelanting sempat minta maaf

MUHAMAD AIRIEL RIZMAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Remaja yang maut terkena tayar treler yang tercabut dan terpelanting di Kampung Merang di sini, semalam, sempat meminta maaf kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya, sehari sebelum kejadian.

Bapa mangsa, Mohamad Nazeri Abdul Razak, 42, berkata, anaknya, Muhamad Airiel Rizman, 18, menghantar pesanan itu melalui aplikasi WhatsApp pada malam, Isnin lalu.

Menurutnya yang juga pemandu lori di tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dia berada di tempat kerja di Sungai Tong ketika kemalangan menimpa anak sulungnya itu.

“Saya dihubungi seorang rakan yang meminta saya datang segera kerana anak terlibat dengan kemalangan dan sebaik tiba, saya hanya mampu terpaku melihat anak yang hanya tinggal jasad.

“Malam sebelum kejadian, arwah ada meminta maaf dengan saya dan isteri, Norhayati Hamzah, 42, serta kawan-kawannya namun itu memang kebiasaan kerana arwah seorang anak yang baik.

“Sepatutnya semalam hari terakhir dia bekerja berniaga air selepas mendapat pekerjaan baharu bermula Ahad ini,” jelasnya ditemui di Kampung Mengabang Panjang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Nazeri menambah, dia dan keluarganya belum terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu atau syarikat treler yang bertanggungjawab itu.

Jelasnya, mereka reda dengan insiden malang menimpa Muhamad Airiel Rizman meskipun perit untuk ditelan memandangkan Allahyarham seorang yang rajin bekerja mencari duit poket.

“Kami masih bersedih dengan kejadian ini dan ingin selesaikan beberapa perkara dahulu, belum fikir lagi untuk ambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak. 

“Arwah sudah tidak bersekolah sejak tamat sekolah rendah dan memang akan selalu bekerja di pelbagai tempat termasuk mengutip buah kelapa sawit di ladang-ladang.

“Ketika kejadian pun dia sekadar membantu rakannya berniaga air buah sejak dua bulan lalu dan kejadian ini satu kehilangan buat kami sekeluarga,” jelasnya lagi.

Dalam kejadian 5 petang semalam, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada manakala rakannya berusia 22 tahun patah tangan kanan.

Kejadian berlaku selepas sebiji tayar treler yang dipercayai menuju ke arah Kampung Telaga Papan tercabut lalu terpelanting ke arah mereka yang sedang berniaga air minuman di kaki lima jalan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya