KUALA LUMPUR: Semua pihak sama ada di dalam mahupun luar Perjanjian Keselamatan Tiga Hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS) untuk tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ASEAN.
Ini kerana menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), termasuk dalam isu berkaitan perlucutan senjata nuklear, pencegahan percambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman.
“Sebelum pengumuman ini dibuat, Panglima Angkatan Tentera Australia, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Australia datang memberikan penerangan pada 9 Mac lalu bahawa pembangunan lapan kapal selam berkuasa nuklear terbabit hanya menggunakan enjin berkuasa nuklear dan tidak akan dilengkapkan dengan senjata nuklear, selaras dengan komitmen Australia di bawah Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT).
“Penerangan ini disusuli panggilan telefon dengan Setiausaha Pertahanan AS pada 10 Mac 2023 dan terkini semasa sesi pertemuan dengan Menteri Negeri di Kementerian Pertahanan UK pada 28 Mac lalu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta kementerian menjelaskan mengenai pendirian Malaysia susulan pengumuman AUKUS pada 13 Mac lalu, dimana Australia akan membeli lapan kapal selam perang nuklear dan kesannya kepada keselamatan negara ASEAN dan sama ada lapan kapal selam perang nuklear akan dibenarkan beroperasi dalam rantau perairan negara ASEAN. – UTUSAN