Malaysia berpotensi berlaku hujan lebat hingga pertengahan Mac 

Hujan lebat dijangka hingga pertengahan Mac 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia masih berpotensi berlaku hujan lebat berterusan meskipun Jabatan Meteorologi meramalkannya berakhir  hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, kemungkinan untuk berlaku hujan lebat berterusan dan banjir terus melanda di beberapa kawasan pada bulan ini. 

Katanya, ia berikutan Monsun Timur Laut (MTL) hanya dijangka tamat pada pertengahan bulan ini sebelum tempoh peralihan ke Monsun Barat Daya pada April depan. 

Jabatan Meteorologi bulan lalu telah mengeluarkan ramalan hujan berterusan bagi negeri-negeri di Semenanjung termasuk barat dan tengah Sarawak serta timur Sabah sehingga hari ini.

Justeru, beliau berkata, hujan lebat berterusan yang sedang berlaku menunjukkan bahawa negara kini dilanda episod keenam hujan lebat berterusan Monsun Timur Laut (MTL) akibat kesan luruan monsun. 

“Selagi MTL belum berakhir, negara masih ada potensi untuk berlaku episod hujan lebat seperti yang berlaku ketika ini yang juga peringkat ke enam episod hujan lebat ini.

“Jangkaan kami mungkin yang terakhir bagi episod hujan lebat, tetapi, kemungkinan juga untuk berlaku masih ada kerana MTL hanya dijangka berakhir sekitar pertengahan bulan ini.

“Dalam proses peralihan MTL kepada Monsun Barat Daya, sekitar April, pihak kami juga menjangkakan ribut petir dan hujan akan terus berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Jabatan Meteorologi bulan lalu mengeluarkan ramalan hujan berterusan bagi negeri-negeri di Semenanjung termasuk barat dan tengah Sarawak serta timur Sabah sehingga 1 Mac ini.

Jabatan Meterologi hari ini mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga esok.

Dalam satu kenyataan, katanya, amaran hujan berterusan bahaya membabitkan tiga kawasan di Pahang iaitu Bera, Pekan dan Rompin, selain Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim) sehingga hari ini.

Situasi sama juga diramal berlaku di Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron), Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah) sehingga esok.

Dalam pada itu, Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai untuk terus cakna dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meterologi. 

“Sementara masih MTL, kemungkian berlaku hujan lebat dan banjir masih ada, jadi orang ramai perlu terus berhati-hati,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya