Maka lengkap sebuah trilogi - Utusan Malaysia

Maka lengkap sebuah trilogi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA cuma mahu rekodkan di sini: ini artikel Rondivu pertama yang saya tulis untuk memenuhi permintaan pengarang Mingguan Malaysia. 

Biasanya saya yang cari atau ada permintaan dari penggiat, maka saya menulis tentang mereka. 

Tapi impak lagu Tentang Siang, Malam dan Romantis sangat besar dan membekas, termasuk kepada pengarang saya sendiri. 

“Lagu itu berhantu,” kata Puan Fauziah Arof. Minggu ini juga urusan saya mahu jawab soalan dari rakan sekerja tentang siapa yang akan ditampilkan dalam Rondivu jadi berganda-ganda mudah. 

Baru nyanyi “tenang…” terus mereka dapat tangkap lagu apa. Ada juga yang  kir lagu itu karya seniman Indonesia tetapi tak apa. Mereka sudah kenal lagu, kerja saya pula nak kenalkan siapa pengkaryanya. 

CINTA TIGA BABAK 

Sedikit latar belakang. Tentang Siang, Malam dan Romantis ialah lagu kedua dalam siri lagu karya Aziem Rashidi. 

Sebelum lagu nyanyian Ainina Hasnul dan Eidi Teman Lelaki itu, ada Jika Ini Yang Terbaik nyanyian Hasha Roslan dan Heidi Moru. 

Isnin lalu, hari temu bual ini diadakan, Tulisan Nasib Kita pula dilancarkan. Kali ini Eidi dipasangkan dengan bakat baharu, Lola. 

Siri lagu ini diinspirasikan daripada sebuah kisah cinta yang ditulis oleh Emmiyya. Novelnya sedang dalam proses penerbitan. 

Tiga babak dalam kisah cinta ini diceritakan dalam tiga lagu. Walaupun Jika Ini Yang Terbaik dilancarkan dahulu, ia sebenarnya babak terakhir dalam kisah ini. 

Pembuka ceritanya ada pada Tulisan Nasib Kita kemudian disambung dengan Tentang Siang, Malam dan Romantis. 

Tiga babak ini bermula dengan pertemuan bahagia, diisi dengan kisah-kisah romantis kemudian ditutup dengan perpisahan yang damai. 

BANYAK BENTUK 

“Aziem datang jumpa saya dan beritahu, lagu-lagu ini perlukan cerita. Jadi kami berbincang dan ia bermula dengan lagu Jika Ini Yang Terbaik. Penghujungnya mereka berpisah. 

“Rentetannya dalam Tentang Siang, Malam dan Romantis. Ia tentang penyembuhan dan pergelutan. Kemudian, Tulisan Nasib Kita yang mengisahkan pertemuan. 

“Jadi, kisah ini bermula dengan pertemuan, ada penyembuhan bersama dan akhirnya berpisah. Kenapa akhirnya berpisah, sebab ini kisah cinta pertama. Cinta pertama yang semestinya menjadi cinta terakhir,” jelas Emmiyya yang juga merupakan kakak kepada Aziem. 

Selain novel, kisah watak utama, Ily dan Ilhan dalam novel dan lagu-lagu itu juga akan diterbitkan dalam bentuk  filem pendek. 

Ia sebuah usaha rentas seni yang menarik kerana potensi semesta trilogi ini boleh dimanfaat dan diadaptasi ke dalam banyak bentuk seni. 

Bukan sekadar lagu, jalan ceritanya yang sarat emosi boleh hadir dalam bentuk novel mahupun  filem. 

KATA-KATA ROMANTIS 

Rakan saya, Zha rin Zulki i pernah mengutarakan satu teori. Dia membezakan gaya penulisan lirik dan lagu antara karyawan Indonesia dengan Malaysia melalui sifat romantis dan jiwangnya. 

Baginya, Indonesia romantis, Malaysia pula jiwang. Melalui kerangka idea itu, kita boleh lihat yang gaya penulisan lagu-lagu Aziem sangat pekat pengaruh Indonesia-nya. 

Patah katanya lebih romantis daripada jiwang. Susunan muziknya juga mengikut trend lagu-lagu dari sana. 

“Untuk Teman Lelaki, kami baru keluar satu lagu. Orang masih belum tahu mana kiblat muzik kami, dari segi bahasa dan sebagainya. 

Lagu-lagu yang Aziem buat ini adalah antara kiblat muzik kami,” kata Eidi yang mengakui tidak sukar untuk menyanyikan lagu dengan gaya sebegini. 

Malah, salah seorang anggota Teman Lelaki, Hafiz juga merupakan penulis lirik untuk Tulisan Nasib Kita. 

“Aku dah banyak tulis lirik untuk Eidi dan dia tak mahu lirik dengan bahasa yang biasa. Dia mahu guna perkataan yang orang perlu  kir atau cari untuk faham. 

“Aziem kata nak buat lagu berdasarkan sebuah novel dan tak mahu lagu yang boleh terus difahami, dia mahu orang berfikir apabila dengar. Aku sendiri mahu lirik lagu ini boleh ada pelbagai tafsiran supaya orang boleh menikmati lagu itu dengan caranya sendiri,” jelas Hafiz. 

Tulisan Nasib Kita kini boleh didengari di semua platform digital utama. Video muziknya juga sudah tersedia di saluran Youtube AziemRashidiMusic. 

Keluarga siri lagu ini akan terus melangkah dalam jalan seni mereka masing-masing. Emmiyya akan menerbitkan novelnya. 

Aziem mahu menutup trilogi ini dan bergerak menghasilkan karya lain pula. Hasha Roslan dan Heidi Moru sudah semakin maju dalam kerjaya muzik masing-masing. 

Teman Lelaki pula akan meneruskan proses penerbitan album. Ainina Hasnul kata dia sudah punya lebih banyak masa untuk melanjutkan langkah sebagai penyanyi dan Lola, walaupun masih dalam pengajian, punya impian untuk melancarkan lagu sendiri kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya