MAIPs salur sumbangan awal Tabung Ibnu Sabil MAIPs - Utusan Malaysia

MAIPs salur sumbangan awal Tabung Ibnu Sabil MAIPs

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Marzita Marzuki di Melbourne, Australia semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menyalurkan sumbangan awal ‘Tabung Ibnu Sabil MAIPs’ berjumlah RM5,000 kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand dalam masa terdekat.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya.

Tabung Ibnu Sabil berkenaan disumbangkan kepada pejabat-pejabat perwakilan Malaysia terpilih di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Demikian menurut kenyataan MAIPs dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Marzita Marzuki yang akan bertukar menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand pada minggu ini di Melbourne, Australia semalam.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke Melbourne bagi menghadiri majlis graduasi anakanda puteri kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail yang telah tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurusan) di Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University.

Ketika di Australia pada kali ini juga, baginda berdua turut berangkat ke Hobart, Tasmania iaitu kunjungan pertama kali ke sana.

Menurut kenyataan itu juga, baginda turut menitahkan bahawa pendidikan yang baik di peringkat yang lebih tinggi mampu mengubah kehidupan seseorang untuk menjadi lebih baik bukan sahaja dalam akademik namun dalam membentuk minda dan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang dilaksanakan.

“Para pelajar yang tamat persekolahan sewajarnya mencari peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi untuk memastikan agar dapat berusaha untuk mengubah diri dan keluarga untuk berada dalam keadaan yang lebih baik dan selesa.

“Terutama dalam mencari pengalaman berdikari dan memberanikan diri mencuba sesuatu yang baru,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya