Mahkamah mula baca penghakiman kes ubah laporan audit 1MDB - Utusan Malaysia

Mahkamah mula baca penghakiman kes ubah laporan audit 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan baru membaca penghakiman di akhir pendakwaan kes mengubah laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak.

Turut diputuskan pada hari ini ialah sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy layak mendapat sijil indemniti yang membolehkannya dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib.

Najib dan Arul Kanda didakwa buat kali pertama di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Disember 2018. Pada 14 Mac 2019, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada dikenakan sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa telah mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Presiden UMNO itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya