KLANG: Sebanyak 85,000 tan metrik sampah hanyut yang dikeluarkan melalui projek Selangor Maritime Gateway dari Sungai Klang bermula dari 2016 hingga kini.
Menerusi projek yang diterajui Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB), 40 peratus daripada jumlah tersebut merupakan beg plastik manakala selebihnya merupakan sisa termasuk perabot, tin, barangan elektrik dan lain-lain.
Justeru, melihat kepada situasi tersebut, LLSB mengambil inisiatif bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk menganjurkan bazar Ramadan di Taman Pengkalan Batu bermula semalam.
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, penganjuran bazar tersebut menyasarkan matlamat memupuk kesedaran mengurangkan penggunaan beg plastik dan dalam masa sama melindungi sungai daripada pencemaran.
“Bazar Ramadan yang pertama kali ini diperkenalkan adalah memelihara Sungai Klang semula, bagi memastikan projek SMG yang direncanakan kerajaan negeri sebelum ini, dapat dijayakan.
“LLSB dan MPK menganjurkan bazar Ramadan yang mengurangkan penggunaan bag plastik di Taman Awam Pangkalan Batu, sejak hari ini,” katanya pada Program Walkabout Bazar Ramadan Taman Awam Pangkalan Batu, semalam.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sudir mencemar duli bersama dalam walkabout tersebut.
Jelas Syaiful Azmen, SMG adalah insiatif kerajaan negeri untuk memastikan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) bersih dan kurang tercemar.
Menurutnya, seramai 33 orang peniaga yang menjual pelbagai makan dan minuman di bazar tersebut.
“Daripada jumlah itu, 10 peniaga itu adalah golongan asnaf yang mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS),” ujarnya.
Sementara itu, Tengku Zatashah menyarankan orang ramai untuk membawa bekas makanan dan minuman sendiri ke bazar Ramadan itu.
“Saya membawa bekas makanan dan minuman sendiri untuk digunakan menyimpan makanan dan minuman yang dibeli di mana-mana bazar Ramadan sejak tahun 2016. Diharap kempen ini mendapat sokongan daripada majoriti rakyat negeri ini,” sarannya. – UTUSAN