MARANG: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas mandi di laut bersama lima rakannya berhampiran sebuah resort di Rhu Muda, di sini hari ini.
Pegawai Bilik Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Rezuan Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pukul 10.11 pagi.
Menurutnya, berdasarkan laporan awal diterima kejadian berlaku sewaktu mangsa, Nabil Hussaimi Halimun Nawar, 22, sedang mandi-manda bersama rakan-rakannya.
“Mangsa yang beralamat di Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Azhariah Seksyen 18, Shah Alam, Selangor dipercayai lemas berjaya diselamatkan rakannya, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang terlibat dalam operasi berkenaan. – UTUSAN