‘Lelah’ cari kerja, lepasan IPT pilih kerja sambilan - Utusan Malaysia

‘Lelah’ cari kerja, lepasan IPT pilih kerja sambilan

MUHAMMAD Fakhri Syazwan Mohd. Samsol bekerja sebagai penghantar makanan selepas lebih lima kali hadiri temu duga. – UTUSAN/mUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Bukan memi­lih kerja, tetapi ada ketika gaji yang ditawarkan, tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa’.

Demikian dilema dihadapi se­­orang penghantar makanan, Muhammad Fakhri Syazwan Mohd. Samsol, 19, yang hampir setahun mencari pekerjaan tetap.

Kata lulusan Kolej Vokasional (KV) Melaka Tengah itu, dia pernah ditawarkan beberapa jawatan oleh pihak industri, tetapi ke­semuanya tidak berkaitan de­ngan kelulusan dimiliki.

Dan sepanjang tempoh itu dia telah menghadiri lebih lima temu duga secara bersemuka.

“Saya memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dalam jurusan automotif. Apabila ditawarkan pekerjaan, saya lihat skop kerja tidak sama se­per­ti kelulusan yang saya miliki.

“Selain itu, gaji yang ditawarkan juga tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa teruta­manya untuk lokasi pekerjaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Bagaimana hendak bekerja dengan tenang jika tenaga dikerah tanpa bayaran yang sepatutnya?

“Saya bukan hendak memi­lih, tapi sekurang-kurangnya tawarkan kerja yang bersesuaian dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Setidak-tidaknya saya boleh menimba ilmu dan pengalaman kerja ber­kaitan sebagai nilai tambah kerjaya pada masa depan,” katanya.

KERJA SAMBILAN DI KAFE

Nasib sama menimpa seorang lepasan politeknik di Kota Bharu, Kelantan yang mengambil keputusan bekerja sambilan selepas gagal temu duga untuk jawatan Pegawai Jabatan Pe­ngang­kutan Jalan (JPJ) pada tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Anis Ishak, 24, lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, keputusan itu terpaksa diambil bagi mendapatkan sumber kewangan sekali gus me­ngurangkan kebergantungan ke­pada keluarga.

“Tahun lalu saya ada menghadiri temu duga, namun rezeki tidak berpihak kepada saya selepas gagal dalam sesi tersebut. Keputusan itu membuatkan sa­ya mengambil keputusan untuk bekerja sambilan di sebuah kafe.

“Apa pun saya berharap akan mendapat pekerjaan tetap suatu hari nanti, memandangkan baru-baru ini saya juga menghadiri temu duga Pegawai Penjara,” katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka, Nur Farah Mohd. Fauzi, 28, memberitahu, dia masih belum mendapat pekerjaan tetap dalam bidang pengajiannya.

Katanya, disebabkan peluang itu agak tipis dia terpaksa lari da­ri­­pada bidang pengajian dan be­kerja sebagai kakitangan pengurusan di sebuah syarikat swasta.

“Saya sememangnya berhasrat untuk bekerja di bidang yang sama ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, namun masih belum dipanggil menghadiri sebarang temu duga,” jelasnya.

TAWAR HATI MOHON KERJA BIDANG DIPELAJARI

Sementara itu impian me­nyer­tai perkhidmatan awam atau pekerjaan sesuai dengan gaji se­timpal serta jaminan ma­sa depan kini bukan lagi keutamaan segelintir graduan selepas menamatkan pengajian ma­sing-masing berikutan peluang pekerjaan yang semakin kurang.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar mereka terutama daripada keluarga miskin tidak lagi mampu memenuhi azam untuk mengubah nasib keluarga dan diri sendiri setelah terpaksa melakukan pekerjaan yang berbeza dengan bidang pengajian.

Mohamad Azir Mohd. Radzi, 28, siswazah Pengurusan Rekod, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia serik untuk memohon kerja melalui per­khidmatan awam kerana daripada empat kali memohon, ha­nya dua kali dipanggil temu duga.

“Tak tahu mana silap­nya sistem pengambilan pekerja kementerian atau jabatan terbabit kerana terlalu sukar untuk memberi peluang kepada siswazah seperti kami ber­khidmat.

“Apa yang dinilai pun tidak dinyatakan, tetapi setiap kali menghadiri temu duga alasan yang diberikan adalah mereka perlukan orang yang mempunyai pengalaman bekerja sedangkan kami yang baru sahaja tamat pengajian tidak diberi peluang,” katanya.

Kini Mohamad Azir, anak ke­tiga daripada empat beradik yang tamat pengajian pada 2018 itu terpaksa bekerja di sebuah pasar raya kerana perlu mencari wang membantu keluarga keluar daripada kemiskinan.

Derita sama dikongsi seorang lagi lepasan UiTM dalam bidang Teknologi Makanan, Nurul Nabila Othman, 26, apabila tidak sekali pun ditawarkan berkhid­mat walaupun daripada tiga per­mohonan, pernah sekali dipanggil ke sesi temu duga.

“Saya juga seperti rakan lain yang kecewa apabila gagal menjawat jawatan yang bersesuaian dengan bidang pengajian, sebaliknya beralih bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya.

“Sejak itu saya tidak pernah lagi memohon sebarang kerja ‘kerajaan’ kerana beranggapan kalau minta pun sudah tentu ti­dak dapat, tambahan umur pun sudah meningkat sekarang,” ka­tanya yang tinggal di Taman Kempas, di sini.

Kata Nurul Nabila, dia kini ingin menumpukan perhatian kepada kerjanya yang sedia ada kerana selain memperoleh pendapatan tetap, dia enggan lagi memasang ‘angan-angan’ be­kerja dalam bidang perkhidmatan awam seperti dahulu yang pernah diidam-idamkannya.

Sementara itu, Mohd. Farid Mohd. Khalid, 27, berkata, selepas tiga kali gagal dalam temu duga yang disertai sebaik sahaja menamatkan pengajian di sebuah universiti di selatan tanah air pada 2019, dia memilih untuk bekerja sendiri bagi mencari pendapatan.

“Saya anak sulung daripada lima beradik dan sudah tentu mempunyai tanggungjawab besar untuk mencari pendapatan membantu menyara keluarga.

“Tetapi dengan kekura­ngan pekerjaan yang ditawarkan sekarang, saya tidak boleh lagi berpeluk tubuh menunggu jawatan bergaji besar sebaliknya membantu bapa saudara berniaga ikan di pasar untuk mendapatkan wang,” katanya.

LAPAN KALI MOHON SPA

Di Kota Kinabalu, Sabah, le­pasan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nurjimah Ben, 29, ber­kata, dia sudah lebih lapan kali memohon kerja dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) namun tiada satu pun lepas untuk ke peringkat temu duga.

Dia telah menamatkan pe­ngajian dalam Ijazah Sarjana Mu­da Sejarah, enam tahun lalu.

NURJIMAH Ben sudah menduduki ujian SPA sebanyak 10 kali tetapi tidak berjaya lepas ke peringkat seterusnya.

Katanya, realiti sekarang tidak membenarkan lepasan universiti memilih pekerjaan walaupun terpaksa bekerja dalam bidang berlainan dengan apa dipelajari semasa berada di universiti dahulu.

“Saya sudah menduduki ujian SPA sebanyak lapan hingga 10 kali sejak menamatkan pengajian tapi tidak pernah berjaya lepas ke peringkat seterusnya. Satu temu duga pun belum pernah saya terima selepas memohon banyak kali.

“Peluang pekerjaan di Sabah sangat rendah hingga ada antara terpaksa bekerja di restoran makanan segera dan juga menjadi jurujual di pasar raya.

“Lambakan graduan dan ke­kurangan peluang pekerjaan yang bertaraf profesional menyebabkan ramai mereka be­kerja dalam sektor yang tidak memerlukan kelayakan pendi­dikan yang tinggi,” katanya.

Pekerja sektor pelancongan itu berkata, semua siswazah me­letak harapan untuk bekerja da­lam sektor awam namun, tiada rezeki untuknya memasuki sektor itu selepas pelbagai permohonan dikemukakan.

Malah semasa pengambilan khas guru seramai 18,000 orang pada 2021 pun, dia ada memohon tapi permohonannya tidak diterima kerana ramai yang memohon termasuk graduan pendidikan.

Dia pernah memohon untuk mengikuti program latihan lepasan graduan seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) namun tidak terpilih.

Anak muda berasal dari Semporna itu berkata, sekarang tia­da istilah graduan pilih kerja ke­rana jika dilihat ramai yang be­kerja dalam sektor perkhidmatan, pasar raya mahukan sektor pelancongan.

TIADA MAKLUM BALAS POSITIF

Masalah kurang peluang pe­kerjaan di pasaran memaksa ramai lepasan universiti bertukar kerjaya selepas gagal menerima panggilan temu duga bagi sektor awam mahupun swasta.

Malah ada antara mereka yang sudah berputus asa sukar mencari pekerjaan dalam bidang kepakaran masing-masing walaupun sudah menamatkan pe­ngajian lebih dua tahun lalu.

Menurut Nur Zafira Aisya Ishak, 27, sekurang-kurangnya 10 permohonan kerja dibuatnya sebelum ini, namun tiada maklum balas positif diterima sehingga terpaksa bekerja sementara di sebuah pasar raya di Kuala Nerus, Terengganu.

“Sebagai graduan jurusan kulinari dan perhotelan, saya memohon pekerjaan dalam sektor pelancongan pada perte­ngahan 2020 namun sektor itu paling teruk terjejas ekoran Co­vid-19.

“Selain itu ada juga memohon kekosongan jawatan sektor awam seperti pegawai penjara dan pegawai perhutanan, malangnya tiada panggilan temu duga diterima.

“Situasi itu menyebabkan sa­ya menganggur enam bulan sebelum bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya pada awal 2021,” katanya.

PILIH BIDANG PERUNCITAN

Di Seremban, Negeri Sembilan, lambakan graduan institut pengajian tinggi (IPT) selain ekonomi yang tidak stabil sele­pas penularan pandemik Co­vid-19 menyebabkan bidang makanan dan peruncitan menjadi pilihan kerjaya graduan pada masa kini.

Seorang pemegang Diploma Pen­tadbiran Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, Melaka, Hazim Jalal, 29, berkata, dia pernah memohon bekerja di jabatan kerajaan namun tidak membuahkan hasil sebelum bekerja sementara di sebuah kedai serbaneka milik syarikat Jepun.

“Bukan tidak cuba, saya sudah memohon kerja kerajaan dalam bidang pentadbiran awam tetapi tiada rezeki, mungkin masa itu mereka mahu orang yang lebih berpengalaman.

HAZIM Jalal menyusun makanan di tempat kerjanya di sebuah kedai serbaneka milik syarikat Jepun di Seremban. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP

“Daripada sekadar suka-suka dan kerja sementara, kini timbul minat walaupun bidang pekerjaan peruncitan ini lain daripada yang dipelajari di universiti,” katanya.

Menurut Hazim, baginya wa­laupun bukan rezeki dalam bidang diminati tetapi ada peluang lain yang lebih besar jika seseorang graduan itu bermula daripada bawah.

“Selepas tiga tahun, saya ditawarkan bekerja sebagai pe­ngurus stor kedai serbaneka ini bagi sebuah cawangan di Se­remban.

“Bagi saya, ini merupakan nilai tambah untuk saya mengembangkan kerjaya dan kualiti diri, malah kerjaya ini menjadi pilihan graduan kerana gajinya agak baik iaitu gaji pokok sekitar RM1,600 hingga RM2,500 bergantung kepada skop kerja dan bidang tugas,” katanya.

Sementara itu, Rabiatul Na­sha­ruddin, 31, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan dan Minuman, UiTM Puncak Alam, Se­langor berkata, selepas tamat pengajian dia bekerja selama lima tahun di sebuah kedai makanan segera bagi menimba pe­ngalaman.

“Bagi saya pengalaman itu yang ‘mahal’, tidak kisah be­kerja di mana-mana asalkan ki­ta pandai bawa diri dan menimba ilmu untuk dibawa jika berpeluang mendapat kerja lebih baik.

“Saya sendiri mengusahakan restoran makanan milik keluar­ga yang dibuka bulan lalu, de­ngan pengalaman dan ilmu saya lebih yakin menceburi bidang perniagaan selain dorongan da­ripada keluarga,” katanya.

JADI PEMBANTU KEDAI

Walaupun memiliki Diploma Pengurusan Pejabat dan Tek­nologi, namun itu bukan jaminan bagi Noorfazliyana Mohd. Sham Sool, 26, memperoleh kerja se­perti yang diingini­nya.

Selepas ‘lelah’ mencari kerja dalam bidang yang dipelajari­nya, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, Me­laka kira-kira enam tahun lalu itu kini reda rezekinya hanya sebagai pembantu kedai.

Sebaik sahaja menamatkan pengajian, sudah beberapa kali dia membuat permohonan kerja sebagai pembantu tadbir, pembantu penerangan dan pembantu pembangunan masyarakat, namun dalam tempoh enam tahun ini tiada sekalipun mene­rima panggilan temu duga walaupun pernah menerima panggilan pengesa­han permohonan daripada pi­hak SPA.

NOORFAZLIYANA Mohd. Sham Sool menyusun pakaian yang dijual di kedai tempatnya bekerja di Simpang Renggam.

“Jika boleh saya memang ber­minat bekerja sebagai pembantu tadbir atau kerani sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta.

“Ekoran tiada sebarang panggilan bekerja, saya nekad untuk bekerja di pasar raya di Simpang Renggam bagi mendapatkan wang membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) walaupun gaji hanya cukup-cukup makan,” katanya.

Noorfazliyana yang juga anak kedua daripada lima beradik mengakui seakan-akan sudah berputus asa untuk memohon sebarang pekerjaan tetap.

Pemegang Di­ploma Perakaunan daripada Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, Nursyafiqah Adnan, 23, turut bekerja sebagai pem­bantu kedai kecantikan di bandar Kluang.

Walaupun pernah menjalani latihan amali di Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sebelum menamatkan pengajian pada 2021, namun hingga kini tiada sebarang panggilan untuk menghadiri temu duga dite­rimanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya