PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menahan tiga buah lori kontena dari Thailand yang dipercayai gagal mengikrarkan barangan muatan mereka dengan betul sewaktu menjalani pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, di sini, Isnin lalu.
Menerusi pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas itu telah membawa kepada penemuan 400 unit alat ganti kenderaan, 1,105 unit aksesori kenderaan, 2,080 helai pakaian dan 6,840 pasang kasut yang diimport dari negara jiran.
Pengarah JKDM negeri, Ismail Hashim berkata, semua muatan itu dipercayai tidak diikrarkan dengan betul bagi tujuan pengimportan barangan berkenaan ke negara ini.
“Anggaran nilai barangan yang dirampas termasuk kenderaan disita adalah berjumlah RM264,840.
“Selain itu, duti dan cukai bagi barangan terlibat adalah berjumlah RM62,199 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM327,039,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, modus operandi lori kontena berkenaan adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan dalam Borang Kastam 1 (K1) dengan tujuan mengelak dikenakan duti dan cukai tinggi.
Katanya, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 135(1) (g) Akta Kastam 1967.
“Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam itu atau RM50,000, amaun mana yang lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti kastam itu atau RM500,000, amaun mana yang lebih besar,atau pemenjaraan selama suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Tambahnya, JKDM Perlis juga menyeru orang awam agar dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di negeri ini.
“Orang ramai boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri,” katanya.-UTUSAN