PETALING JAYA: Lapan individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melalui lima serbuan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada 3 Mac lalu.
Kelima-lima serbuan Op GreyHound itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman serta JSJN KL turut merampas 300 kilogram (kg) syabu dan dua kg ekstaksi dianggarkan bernilai RM10.8 juta.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, kesemua warga tempatan berusia 27 hingga 61 tahun itu terdiri daripada tujuh lelaki serta wanita.
Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu telah bergiat aktif sejak awal tahun ini dipercayai mengedar dadah tersebut bagi pasar sekitar Lembah Klang dan negara jiran.
“Modus operandi sindiket dengan mendapatkan bekalan dadah dari negeri di Semenanjung utara dipercayai dibawa masuk dari sempadan sebelum dibawa ke Lembah Klang menggunakan kenderaan diubah suai bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Dalam serbuan itu, kita turut menemukan 300 kg syabu dan 2kg ekstaksi dalam dua buah kenderaan di sebuah pasar raya di ibu negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Yahaya, pihak polis turut menyita tujuh kenderaan pelbagai jenis bernilai RM 456,000; barang kemas ( RM17,566 )serta wang tunai berjumlah RM8,400 serta jumlah sitaan keseluruhan berjumlah RM481,966.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM11.2 juta.
“Hasil ujian saringan awal mendapati enam suspek positif dadah manakala mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman tujuh hari bermula sehingga Khamis ini bagi disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
“Kita percaya lelaki bergelar Datuk merupakan dalang kegiatan ini namun siasatan lanjut masih dijalankan selain mengesan ahli sindiket yang masih bebas.
“Kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai boleh digunakan bagi 600,000 penagih,” katanya.- UTUSAN