Lapan tan sampah sehari, kempen nat bebas sampah beri kesedaran jaga kebersihan - Utusan Malaysia

Lapan tan sampah sehari, kempen nat bebas sampah beri kesedaran jaga kebersihan

MOHD. Shukri Ramli dalam program walkabout’ di nat Behor Lateh sempena kempen Nat Bebas Sampah Perlis di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Sebanyak 1,129.4 tan metrik sampah dikutip sepanjang tahun lalu di keseluruhan 27 lokasi pasar sehari atau nat, pasar malam dan pasar tani di seluruh negeri ini.

Secara purata, sebanyak 94.2 tan metrik atau lebih 90,000 kilogram sampah sisa pepejal itu dikutip dalam tempoh sebulan dengan setiap lokasi itu membabitkan 8.56 tan metrik sampah.

Justeru kempen pasar pagi atau nat bebas sampah yang diperkenalkan kerajaan negeri diharapkan dapat memberi kesedaran kepada para peniaga dan orang ramai dalam meningkatkan aspek kebersihan tersebut.

Secara umumnya, kempen berkenaan adalah selaras dengan salah satu matlamat di bawah Agenda Perlis Bersih Sihat (2021-2025) iaitu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya para peniaga untuk meningkatkan aspek kebersihan khususnya di kawasan lot atau petak niaga ketika pengoperasian dan selepas perniagaan.

Kempen berkenaan juga mempromosikan amalan kitar semula yang boleh dilakukan oleh para peniaga untuk menguruskan sisa perniagaan dengan lebih baik dan teratur.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk memperluaskan lagi promosi dan kempen nat bebas sampah ini kepada semua lokasi pasar pagi, pasar malam dan pasar tani seluruh Perlis.

Katanya, untuk itu, kerajaan negeri juga menggesa semua pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta penganjur-penganjur pasar pagi, malam dan pasar tani terlibat untuk memperkemaskan serta menambah baik syarat-syarat dalam aspek penjagaan kebersihan tersebut.

“Di pihak penganjur dan para peniaga agar aspek penjagaan kebersihan ini bukan terletak di pihak kerajaan dan jabatan atau agensi sahaja, malah perlu dipertanggungjawabkan secara bersama oleh semua pihak.

“Kerajaan negeri yakin bahawa sekiranya aspek kebersihan di kawasan-kawasan perniagaan, termasuk di nat serta tempat-tempat makan ini ditingkatkan oleh peniaga dan pemilik premis, maka pengunjung akan meningkat, bahkan boleh menjadi lokasi tarikan pelancong juga,” katanya ketika ditemui selepas program ‘walkabout’ di nat Behor Lateh sempena kempen Nat Bebas Sampah Perlis di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Asrul Aimran Abd. Jalil.

Tambah Mohd. Shukri, kerajaan negeri juga amat berharap agar para peniaga dapat memberi kerjasama yang baik kepada pihak kerajaan melalui jabatan atau agensi yang mengawal selia dalam pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah di lokasi terlibat itu supaya mematuhi amalan kebersihan dengan pembuangan sampah secara teratur di pusat-pusat tong sampah yang telah disediakan.

“Kebersihan adalah tuntutan agama yang mana masyarakat suka kepada keadaan persekitaran yang bersih. Begitu juga dengan kawasan perniagaan. Di Perlis, pasar pagi atau ‘nat’ merupakan salah satu lokasi popular yang menjadi tumpuan pelancong dan masyarakat tempatan untuk mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya