Lapan badan kebajikan terima sumbangan zakat Awesome TV, KAPB - Utusan Malaysia

Lapan badan kebajikan terima sumbangan zakat Awesome TV, KAPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Merebut keberkatan bulan Ramadan, Awesome TV kembali menjalinkan kerjasama strategik dengan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) dalam usaha menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik.

Usaha itu termasuk golongan anak yatim, asnaf, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, orang buta dan pesakit dialisis menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diberi judul Ihsan Kita.

Menjayakan inisiatif amal tersebut, KAPB telah memperuntukkan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 untuk diagihkan kepada lapan buah badan kebajikan yang mana masing-masing menerima wang berjumlah RM10,000.

Lapan badan kebajikan terpilih tersebut termasuk Yayasan Orang Buta Malaysia (Brickfields), Rumah Perlindungan Al-Nasuha (Gombak), Rumah Titian Kaseh (Titiwangsa) dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia (Keramat).

Selain itu, turut menerima sumbangan ialah Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah (Rawang), Yayasan Chow Kit (Kuala Lumpur), Yayasan Islam Darul Ehsan @ Pusat Dialisis MAIS (Kuala Selangor) dan Yayasan Budi Ihsan Malaysia (Putrajaya).

Menurut Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, usaha itu dilakukan bagi memupuk semangat kebersamaan antara pihak stesen tv dan kakitangan KAPB sekaligus mendekati masyarakat setempat.

“Pihak Awesome TV prihatin dan memainkan peranan besar dalam mengambil langkah proaktif untuk menyokong sebarang usaha murni yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat di luar sana.

“Inisiatif penerbitan program Ihsan Kita merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk mendekati dan berbakti kepada masyarakat yang dilihat menepati simbolik tema kempen Ramadan tahun ini iaitu ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya’.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak KAPB di atas kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program amal ini. Kami amat menghargai kesungguhan dan komitmen syarikat korporat seperti KAPB yang wajar dicontohi oleh semua. Besar harapan kami agar kerjasama murni ini dapat dipanjangkan lagi untuk tahun-tahun mendatang,”katanya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Koperasi dan Setiausaha Kehormat KAPB, Sahidi Mohamad berkata, pihaknya berbesar hati dapat melibatkan diri dalam program kebajikan seperti ini yang diyakini dapat memberi impak sosial yang tinggi terutama melibatkan pembangunan dan kelestarian masyarakat.

“Ia juga sejajar dengan komitmen yang kami jalankan sejak koperasi mula ditubuhkan pada tahun 2014 sehingga kini. Sebagai sebuah koperasi yang bertanggungjawab, KAPB juga banyak menyalurkan sumbangan ikhlas.

“Ia termasuk dari segi wang tunai, keperluan asas dan tenaga serta aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang turut disertai oleh Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan kakitangan syarikat secara konsisten untuk mempertingkatkan kesejahteraan serta kualiti kehidupan komuniti setempat.

“Bagi merealisasikan hasrat kami untuk mengadakan program CSR yang efektif dalam skala yang lebih besar untuk tahun ini, kami menjalinkan usaha sama strategik dengan pihak Awesome TV menerusi program Ihsan Kita yang dilihat mampu membuka jalan kepada badan-badan kebajikan terlibat untuk meningkatkan ketersediaan mereka dalam mendepani apa jua cabaran demi kelangsungan hidup seharian,”katanya.

Untuk info, liputan aktiviti kemasyarakatan dalam program Ihsan Kita tersebut turut diserikan lagi dengan penglibatan barisan selebriti tanah air seperti Izzue Islam, Fimie Don, Mamak Puteh, Nizam Jentik-Jentik, Harris Alif, Danny Soda, Justin Ang dan Kamalia Jamaludin.

Paparan mengenai program itu disediakan menerusi lapan buah episod khas yang bakal ditayangkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 6.00 petang secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula 1 April 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya