Lah Ahmad enggan bersentuhan dengan pelakon wanita - Utusan Malaysia

Lah Ahmad enggan bersentuhan dengan pelakon wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS menjayakan konsert sulung sekitar Januari lalu, tumpuan penyanyi, Lah Ahmad, 42, kini beralih kepada bidang lakonan.

Terbaharu, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad bakal muncul dalam sebuah drama yang akan ditayangkan di salah sebuah saluran di Astro.

Meskipun lebih dua dekad bergelar anak seni, lakonan masih terlalu asing buatnya. Justeru, dia enggan tergesa-gesa, malah sedia bertatih seperti pelakon baharu.

Ketika ditemui pemberita baru-baru ini, Lah mengaku ada meletakkan permintaan agar prinsipnya yang tidak bersentuhan dengan pelakon wanita, dihormati.

“Dahulu, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon. Bagaimanapun, minat mula bercambah selepas terlibat dalam dua telefilem sebelum ini iaitu Di Bawah Langitmu Aku Berselawat dan Mahligai Belum Terbakar.

“Saya ada berbincang dengan pengarah, maklumkan tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita kerana sudah berumah tangga.

“Alhamdulillah pihak produksi faham kehendak saya dan banyak membimbing untuk menjayakan satu-satu babak tanpa perlu bersentuhan dengan pelakon wanita,” jelasnya.

Kata Lah, bidang lakonan sekadar menjadi bidan terjun dan bukan keutamaannya buat masa ini. Tambahnya, nyanyian tetap menjadi bidang nombor satu.

“Saya seronok berlakon, tetapi tak adalah serius ke arahnya kerana nyanyian masih menjadi bidang keutamaan saya.

“Saya akan pertimbangkan mana-mana tawaran lakonan yang datang. Mungkin, saya akan terima satu tawaran berlakon untuk setahun,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Lah memaklumkan meskipun tidak pernah menyimpan hasrat untuk bertukar bidang, dia tetap gembira kerana diberi peluang menjadi seorang pelakon.

Katanya, langkah seorang penyanyi yang masuk ke dalam bidang lakonan bukan isu yang perlu diperbesarkan.

“Apabila masuk ke dalam bidang ini, baru saya tahu betapa seronoknya menjadi pelakon.

“Saya harap penglibatan saya dalam bidang ini tidak dipersoalkan. Ramai lagi penyanyi yang menjadi pelakon dan begitu juga sebaliknya,” jelasnya.

Impi berduet dengan Aina Abdul

Bakal menghiburkan di konsert Soundvalley Festival pada 6 Mei depan, Lah atau meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Aina Abdul, Kmy Kmo, kumpulan 6ixth Sense dan ramai lagi.

Kata Lah, kesempatan itu mungkin akan digunakan bagi merealisasikan hasrat untuk bergabung dengan Aina yang juga merupakan penyanyi dikaguminya.

“Memang teringin untuk membuat persembahan dengan Aina lebih-lebih lagi apabila muncul peluang menjayakan konsert ini bersama-sama.

“Insya-Allah, perkara ini akan diusulkan kepada pihak penganjur. Alang-alang berjumpa nanti, kenapa tidak membuat persembahan bersama.

“Saya dan Aina tidak pernah berpeluang untuk menyanyi bersama meman­dangkan kami sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ini sahaja peluang yang kami ada. Kalau ada rezeki, Insya-Allah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya