KUALA TERENGGANU: KPT Uniten Thunder meraih kemenangan berharga 1-0 ke atas Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), petang tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL) itu semakin menghampiri gelaran juara liga tersebut dengan mengumpul 20 mata berbaki dua perlawanan.
Babak pertama berlangsung seimbang setelah KPT Uniten menyerang melalui percubaan Nur Zafirah Aziz pada minit ke-18 disusuli pukulan kencang pemain tuan rumah, Nur Atira Ismail (m-21).
Tidak banyak gerakan dilakukan kedua-dua pasukan selepas itu dengan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat suku ketiga dan menuju hujung permainan.
TLHT yang mengamalkan corak bertahan dicemaskan gerakan solo pemain lawan, Nur Zafirah Aziz namun pukulan ‘reverse’ Siti Nur Arfah Mohd. Nor diselamatkan pada minit ke-46.
Penantian KPT Uniten berakhir empat minit sebelum tamat apabila Nur Hafizah Maznan menolak umpanan Nurmaizatul Hanim Syafi Fuad dari sebelah kiri untuk gol tunggal permainan.
Nurmaizatul Hanim (m-59) berpeluang mencetak nama sebagai penjaring gol tetapi tolakannya dinafikan penjaga gol, Maz Huzaimah Md. Aziz dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat. – UTUSAN