BUTTERWORTH: Kementerian Pendidikan sedang memperincikan syor yang dikemukakan jawatankuasa anti gangguan seksual dan anti buli bagi mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes gangguan seksual dan buli di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau yakin saranan dan cadangan yang disuarakan jawatankuasa terbabit dapat meningkatkan keselamatan ekosistem sekolah.
Jelas beliau, pihaknya yakin syor itu dapat memudahkan akses untuk anak-anak mendapatkan bantuan dalam konteks melindungi diri mereka berkaitan isu-isu buli dan gangguan seksual.
“Selain itu, syor berkenaan dapat menguatkan lagi dasar khususnya polisi perlindungan anak-anak yang lebih baik sekali gus memastikan keselamatan mereka di sekolah.
“Saranan syor tersebut akan diperincikan KPM dan akan kita maklumkan supaya dapat sama-sama didokong sekali gus memastikan sekolah anak-anak lebih selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek rintis Program 3S (Safer Mind, Safer School, Safer Future) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan, di sini hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut memuji inisiatif yang dilaksanakan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal itu sebagai salah satu usaha menangani gejala negatif antaranya buli, gangsterime, vandalisme dan rasis di sekolah.
Katanya, platform itu akan memanfaatkan 42 buah sekolah yang mana aduan berkaitan permasalahan boleh dikemukakan menerusi talian yang disediakan.
Jelas beliau, pendekatan yang diambil itu bersifat lebih kepada teknologi digital dan pada masa sama akan memberi tumpuan untuk melindungi anak-anak sejurus aduan dibuat.
“Pemegang taruh membabitkan pihak sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan antaranya PDRM, AADK akan mengambil tindakan mengikut tanggungjawab masing-masing bagi menyelesaikan aduan yang diterima.
“Program ini berperanan sebagai ‘buffer’ (penampan) permasalahan yang berlaku di sekolah sebelum ia tular di laman sosial bertujuan untuk melindungi maruah dan nama sekolah yang terlibat,” katanya. – UTUSAN