KPDN rampas 5,620 liter diesel diseleweng

KPDN rampas 5,620 liter diesel diseleweng

PREMIS yang diserbu penguatkuasa KPDN kerana disyaki menyimpan diesel bukan ditempat dilesenkan untuk tujuan penyelewengan di Changloon, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Serbuan di sebuah stor di Mukim Sungai Laka, Changloon di Kubang Pasu oleh pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menemukan sebanyak 5,620 liter diesel yang disyaki diseleweng.

Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, minyak bersubsidi bernilai RM11,802 itu dirampas menerusi Op Tiris yang dilaksanakan susulan maklumat risikan Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri sebelum ini. 

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap premis yang tidak berpenghuni tersebut menemukan lapan buah IBC Tank, 17 tong drum dan 34 Jerry Can yang berisi minyak diesel dan lain-lain peralatan yang disyaki digunakan untuk penyelewengan. Peralatan tersebut dianggarkan berjumlah RM5,954 sekaligus nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM17,756.

“Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan dan seterusnya menafikan hak masyarakat yang sepatutnya menikmati subsidi ini,” katanya di sini, hari ini.

Affendi berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 20 (1) akta berkenaan kerana menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel bukan di tempat yang dilesenkan. 

Katanya, mana-mana orang perseorangan yang disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. 

“Bagi pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN sekiranya terdapat sebarang kegiatan yang mencurigakan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya