KPDN Perak tidak temukan ayam tak disembelih ikut syarak - Utusan Malaysia

KPDN Perak tidak temukan ayam tak disembelih ikut syarak

TANGKAP layar gambar dalam media sosial yang mendakwa ayam yang dibeli di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar tidak disembelih mengikut ikut hukum syarak. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengesahkan tidak menemukan ayam yang tidak disembelih mengikut hukum syarak yang didakwa dijual di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan di premis itu telah dilakukan semalam, selepas menerima dakwaan tular yang dimuatnaik seorang pengguna di media sosial.

“Berdasarkan pemeriksaan, ayam yang didakwa tidak disembelih itu dibeli pada harga promosi yang berlangsung pada 24 hingga 26 Mac, sedangkan ia mulai tular di media sosial semalam.

“Kita pun tidak menerima aduan secara rasmi, cuma tahu melalui media sosial. Jadi, apabila kita hantar pasukan untuk membuat pemeriksaan, kita dapati tiada penemuan ayam tidak putus urat marih seperti mana yang diberitahu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kamalludin, hasil pemeriksaan mendapati, ayam yang dijual mengikut harga promosi pada tarikh berkenaan diperoleh dari pembekal di Melaka.

Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya telah menyalurkan maklumat itu kepada KPDN Melaka untuk tindakan lanjut bagi melakukan pemeriksaan di kilang ayam tersebut.

“Ada beberapa pembekal yang hantar ayam ke pasar raya itu namun pada tarikh berkenaan, pembekalnya dari Melaka. Syarikat itu juga ada sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan sah sehingga 15 Jun 2023.

“Maklumat hasil pemeriksaan juga kita telah panjangkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIPk berhubung dakwaan berkenaan.

“InsyaAllah kita akan siasat. Ya benar, JAIPk akan tetap menyiasatnya (walaupun hanya berdasarkan dakwaan di media sosial tanpa aduan rasmi).

“Kerana kita akan pastikan umat Islam makan hanya yang halal lagi toiyiba (baik),” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang pengguna yang mendakwa ayam segar yang dibeli di sebuah pasar raya di Kuala Kangsar tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Menurut pengguna itu, dia telah meminta kepala ayam daripada pekerja pasar raya tersebut dan setelah meneliti mendapati haiwan itu tidak disembelih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya