Kos RM15,000 amah Indonesia tidak masuk akal - Utusan Malaysia

Kos RM15,000 amah Indonesia tidak masuk akal

PENGAMBILAN pembantu rumah dari Indonesia ketika ini tertangguh selepas kedua-dua negara masih belum memuktamadkan perkara berkaitan kos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemasukan pembantu rumah dari Indonesia ke negara ini masih tertangguh memandangkan agensi di kedua-dua negara belum memuktamadkan kos yang ditetapkan bagi pengambilan setiap Pekerja Domestik Indonesia (PDI).

Ini kerana kos yang ditetapkan sebanyak RM15,000 disifatkan tidak masuk akal, malah mengakibatkan kerugian kepada agensi pekerjaan di Malaysia apabila sebahagian besar daripada kos itu atau kira-kira RM12,000 terpaksa dibayar kepada agensi pekerjaan di Indonesia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Dr. Sukumaran Nair berkata, perkara itu menjadi pertikaian apabila agensi di negara ini hanya menerima bayaran sekitar RM3,000 sedangkan mereka terpaksa menanggung banyak kos pengurusan lain seperti visa, pasport serta kos-kos lain yang perlu diselesaikan di sini.

Menurut beliau, kekangan itu menyebabkan banyak agensi pekerjaan tidak mahu terlibat dalam menguruskan pengambilan sektor perkhidmatan tersebut kerana ia langsung tidak memberikan keuntungan walaupun jumlah amah yang diperlukan di negara ini adalah sekitar 150,000 orang.

“Agensi pekerjaan Indonesia mengaut keuntungan berlebihan sehingga RM12,000 hanya semata-mata memenuhi syarat wajib menjalani latihan selama dua bulan sebelum datang ke Malaysia.

“Sedangkan kita tahu urusan-urusan lain bagi pengambilan amah tidak sampai RM200 pun, tapi agensi perekrutan pekerja ini mengenakan kos terlalu tinggi kononnya atas dasar memberikan latihan.

“Atas sebab ini agensi-agensi di Malaysia tidak sanggup menguruskan perkhidmatan itu kerana keuntungan terlalu sedikit dan kita pula kena tanggung kebajikan setiap amah yang dibawa masuk selama mana mereka tinggal di Malaysia. Ini amat tidak adil,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, sejumlah 750 agensi di bawah Papsma yang berlesen masih belum membawa membawa masuk PDI setakat ini memandangkan sistem permohonanan iaitu Sistem Maid Online dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) tergendala mengakibatkan kelewatan masuk sehingga dua bulan.

Sukumaran memberitahu, disebabkan masalah itu, ada antara majikan membawa masuk PDI secara tidak sah ke Malaysia menggunakan visa pelancong dan ‘simpan’ mereka sehingga dua ke tiga tahun serta hanya perlu membayar kompaun sebelum menghantar pulang.

Menurut beliau, bagi mengatasi isu kos ini, Kerajaan Malaysia diminta membuka pengambilan amah dari negara Bangladesh memandangkan kos lebih murah sekitar RM6,000 ke RM8,000 sebagai pilihan agar tidak hanya bergantung kepada Indonesia semata-mata.

Pada masa sama katanya, Malaysia harus sediakan tempat-tempat latihan di negara lain mengikut cita rasa majikan dan protokol kerajaan selain silibus latihan harus diluluskan kerajaan Malaysia mengikut prosedur negara.

“Indonesia tidak membenarkan negara lain menjalani latihan selain daripada negaranya sahaja. Jadi Malaysia harus memohon untuk menjalankan latihan ini sendiri menggunakan silibus kita sendiri, baru lah adil.

“Kerajaan Malaysia perlu letakkan syarat ini supaya PDI menjalani latihan di kedua-dua negara. Kita sekarang terlalu mengikuti kehendak Kerajaan Indonesia yang mana kita harus meletakkan kurikulum kita untuk pekerja mereka masuk ke Malaysia,” katanya.

Dua hari lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) yakin negara mempunyai peluang cerah dalam mencapai kata sepakat dengan Indonesia bagi mengurangkan kos pengambilan PDI selepas pihaknya mengadakan perjumpaan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada pertengahan bulan ini.

Menterinya, V. Sivakumar sebelum ini berkata, pihaknya berharap kos dapat dikurangkan di bawah RM9,000 berbanding jumlah yang ditetapkan dalam mesyuarat terakhir pada November 2022 sebanyak RM12,000, termasuk kos kuarantin RM3,000.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono turut dilaporkan berkata, kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia boleh turun serendah RM8,000 bergantung rundingan antara agensi pengambilan pekerja kedua-dua negara.

Setakat 22 Januari lalu, terdapat 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah itu, 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah dengan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya