Kos persediaan persekolahan anak meningkat, bebankan golongan B40 - Utusan Malaysia

Kos persediaan persekolahan anak meningkat, bebankan golongan B40

Pengusaha van sekolah di Melaka tidak bercadang menaikkan tambang.- UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kenaikan tambang van sekolah antara RM5 hingga RM20 amat membebankan ibu bapa terutamanya bagi yang memiliki ramai anak yang bersekolah.

Suri rumah, Hasilah Rauf, 36, mengakui kenaikan tambang sebanyak RM10 daripada RM80 menjadi RM90 untuk seorang anak yang dimaklumkan oleh pengusaha bas sekolah baru-baru ini mengejutkannya dan suami.

Dia yang mempunyai empat anak bersekolah terpaksa mem­belanjakan lebih RM300 sebulan hanya untuk kos tambang bas sekolah bagi sekolah kebangsaan dan agama.

“Saya tidak bekerja kerana mempunyai bayi. Jadi suami yang menanggung segalanya dan ketika dimaklumkan tentang kenaikan tambang van sekolah, kami terpaksa reda, jika tidak anak-anak sukar hendak ke sekolah.

“Tertekan dengan perbelanjaan untuk sesi sekolah kali ini. Semua barang, harga naik dan saya juga ada ambil upah menga­suh anak orang untuk bantu suami.

“Jika tidak, tak tertampung segalanya jika diletakkan pada bahu suami. Itu belum lagi memikirkan Aidilfitri yang hampir serentak dengan sesi sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Hadman Rizal, 40, kenaikan tambang bas sekolah anaknya sebanyak RM20, daripada RM80 menjadi RM100.

Pihak pengusaha telah memaklumkan kenaikan harga itu sebelum cuti sekolah supaya ibu bapa bersedia dengan kadar baharu itu.

“Mahu tidak mahu terpaksalah, jika tidak, tiada siapa yang mahu ambil dan hantar anak ke sekolah. Isteri juga bekerja, terpaksa berkorban wang sedikit untuk anak-anak dapat ilmu.

“Sekarang semua tiada yang murah, memang agak pening untuk sesi sekolah kali ini kerana semua kos naik, termasuk kelengkapan sekolah,” katanya.

PASTIKAN KENAIKAN TAK MELAMPAU

Dalam pada itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berasa terkilan dengan kenaikan harga tambang bas atau van sekolah yang disifatkan akan menekan mereka dalam persediaan pembukaan sekolah bagi sesi 2023/2024.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, ketika ini kumpulan ibu bapa berdepan peningkatan barangan persiapan sekolah.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengenakan kawalan dan pengawasan ketat dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan kenaikan yang dikenakan tidak ‘melampau’.

“Saya merasakan MOT dan KPM perlu masuk campur me­ngenai perkara ini. Kerajaan juga perlu pastikan dengan kenaikan itu, pelajar juga mendapat mutu perkhidmatan yang baik.

“PIBGN amat mengharapkan pemantauan dilakukan kepada mereka, iaitu secara mengejut dari semasa ke semasa. Ini supaya pengusaha perkhidmatan tersebut sentiasa menjaga keselamatan pelajar seperti kenderaan digunakan memang layak berada di atas jalan raya,” katanya.

Melalui tinjauan Utusan Malaysia, beberapa pengusaha menyatakan akan menaikkan harga tambang bas atau van sekolah mereka ekoran keadaan semasa dan pe­ningkatan kos operasi.

SELAIN tambang bas atau van sekolah, isu harga makanan di kantin sekolah yang dijangka meningkat juga memeningkan ibu bapa, termasuk pengusaha kantin. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Sehubungan itu ibu bapa menyuarakan kebimbangan mereka memandangkan harga tambang bas sebelum ini dianggap sudah tinggi mengikut keadaan ekonomi semasa yang menekan, di samping perlu melakukan persiapan Ramadan dan Aidilfitri.

Mohamad Ali berkata, selain daripada pemantauan terhadap pengusaha perkhidmatan tersebut, pihak sekolah boleh mewujudkan kenderaan khas untuk digunakan bagi pelajar yang tidak berkemampuan.

Jelasnya, usaha tersebut mampu direalisasikan dengan pelbagai kerjasama dan ia mampu me­ningkatkan peratusan kehadiran pelajar ke sekolah dan membantu mengatasi masalah kewangan ibu bapa yang tidak mampu membayar tambang untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Banyak sekolah menyediakan van atau bas sekolah masing-masingnya sendiri, mungkin ada sekolah yang berupaya untuk melakukan usaha sedemikian bersama dengan bantuan daripada koperasi sekolah dan PIBG untuk kegunaan sekolah.

“Ini akan memastikan kos pe­ngangkutan pelajar-pelajar yang meningkat naik dapat diatasi,” jelasnya.

JANGAN TAMBAH BEBAN RAKYAT

“Jangan gunakan alasan kenaikan harga barang untuk menaikkan tambang bas sekolah kerana tindakan itu semakin membebankan kehidupan rakyat, khusus ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah”.

Demikian tegas Mohd. Fazli Esa, 49, yang meminta kerajaan memikirkan langkah lebih bijak bagi menangani isu tersebut supaya tiada pihak yang terkesan sama ada pengusaha bas sekolah mahupun pengguna.

Katanya, alasan pemeriksaan berkala kenderaan di Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) dua kali setahun sebagai punca pengusaha menaikkan tambang perlu diambil kira kerajaan.

Jelasnya, banyak perkara boleh dilakukan untuk mengatasi masalah yang ditanggung pengusaha bas bagi mengelakkan sebarang kenaikan tambang berlaku yang secara langsung menambah tekanan hidup rak­yat.

“Mungkin kadar kenaikan itu tidak banyak, namun dengan tambang sedia ada sebelum ini sudah membebankan pengguna apatah lagi apabila dinaikkan nanti.

“Dengan erti kata lain, kerajaan perlu menangani masalah kenaikan harga barang terlebih dahulu agar tiada alasan boleh digunakan pengusaha untuk menaikkan tambang mereka,” katanya.

Mohd. Fazli yang berniaga ke­cil-kecilan di tepi jalan berkata, dia membayar tambang bas sebanyak RM140 sebulan bagi dua anaknya yang bersekolah di sebuah sekolah rendah dengan perjalanan pergi dan balik kira-kira 10 kilometer.

Sementara itu seorang ibu tunggal, Hidayah Abdullah, 36, berkata, kumpulan yang paling terkesan dengan kenaikan tambang bas sekolah ialah mereka yang bekerja sendiri.

Katanya, berniaga ketika berdepan kenaikan harga barang ketika ini boleh diumpamakan ‘kais pagi makan pagi’ menyebabkannya sukar untuk mendapatkan perkhidmatan bas sekolah bagi menghantar dua anaknya ke sebuah sekolah rendah.

“Bayangkan dengan pendapatan hanya RM40 sehari dan perlu menabung sebanyak RM130 untuk bayaran perkhidmatan bas sekolah anak, sudah pasti akan membebankan kami,” katanya.

PENGUSAHA BAS, KANTIN ‘PENING KEPALA’

Sementara itu di Sungai Petani, Kedah, kebanyakan pengusaha kantin dan bas sekolah sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali beroperasi pada Ahad ini bagi penggal baharu persekolahan melibatkan empat buah negeri termasuk Kedah.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan dalam kalangan mereka sama ada perniagaan tersebut dapat diteruskan pada masa depan atau tidak apabila mereka masih perlu mengekalkan harga lama meskipun kos pengeluaran meningkat secara mendadak pada tahun ini.

Pengusaha kantin sekolah, Ahmad Shukri Supian, 49, berkata, persiapan untuk membuka se­mula empat buah kantin yang diusahakannya sudah dibuat sejak awal bulan ini bagi memastikan ke­semua premis itu dapat ber­operasi dengan lancar.

Katanya, meskipun berdepan cabaran kenaikan kos bahan mentah, namun dia masih mengekalkan harga makanan serendah RM1 hingga RM3 satu hidangan di kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Semeling, SK Su­ngai Lalang, SK Haji Omar Tahir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Badong.

“Saya akui sangat terkesan dengan kenaikan kos pengeluaran dan bahan mentah ketika ini, namun kami tidak boleh menaikkan harga makanan sesuka hati kerana pelanggan kami terdiri daripada murid-murid dan pelajar sekolah sahaja.

“Saya harap harga bahan mentah kembali stabil tidak lama lagi supaya pengusaha-pengusaha kantin seperti kami dapat terus bertahan dengan perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu, pengusaha bas sekolah dari Kampung Teluk Wang Besar, Ahmad Saidon, 70, berkata, dia menyediakan dua buah bas untuk mengambil dan menghantar murid dan pelajar sekolah dengan kadar tambang RM1 hingga RM3 sahaja mengikut jarak penum­pang.

“Sebagai pengusaha bas saya turut terkesan dengan kenaikan kos pengeluaran ketika ini terutamanya apabila penumpang bas tidak penuh. Bayangkan dengan tambang RM1 hingga RM3 itu ha­nya 15 hingga 18 orang penum­pang sahaja yang naik pada satu-satu masa, sudah tentu ia tidak akan memberi keuntungan kepada kami.

“Bagaimanapun setakat ini saya masih akan teruskan perkhid­matan bas sekolah memandangkan masih ada murid dan pelajar sekolah yang memerlukan per­khidmatan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, tinjauan di sebuah pasar raya di bandar Sungai Petani mendapati masih terdapat ibu bapa yang keluar membeli belah barangan keperluan persekolahan anak-anak mereka pada saat akhir.

NURUL Nadia Mansor memilih kasut sekolah yang sesuai untuk adiknya, Mifzal Darwisy, 15, sebagai persiapan memulakan sesi persekolahan Ahad ini di Sungai Petani.

Seorang ibu, Nurul Nadia Mansor, 30, berkata, persiapan persekolahan pada tahun ini dibuat secara bersederhana memandang­kan masih perlu menyimpan untuk perbelanjaan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya hanya beli kasut dan beberapa alat tulis baharu sahaja untuk anak perempuan dan adik lelaki saya, manakala pakaian seragam dan beg sekolah hanya guna yang tahun lepas kerana masih berkeadaan baik,” katanya.

Nor Afifah Omar, 41, yang terpaksa mengambil cuti selama dua hari untuk menyelesaikan persiapan persekolahan tiga anaknya pula terpaksa berbelanja pada saat akhir kerana dia dan suaminya, Mohd. Amirul Bahari, 45, terpaksa menunggu gaji pada awal bulan baru-baru ini.

“Gaji bulan lalu kami sudah guna untuk beli pakaian raya ke­rana perlu ditempah awal, jadi terpaksa tunggu gaji bulan ini untuk beli pakaian sekolah anak-anak.Persiapan persekolahan mereka pun terpaksa dibuat biasa-biasa sahaja berbanding tahun lalu,” jelasnya.

KOS MINIMUM RM250 SEORANG ANAK

Di Jerantut, Pahang pula, tinjauan Utusan Malaysia terhadap golongan ibu bapa dan penjaga dalam kalangan B40 dan mereka yang bergaji kecil mendapati, mereka antara yang berdepan masalah kewangan menyediakan keperluan anak menghadapi sesi persekolahan 2023/2024 bermula minggu depan.

Rata-rata mereka khususnya yang mempunyai ramai anak di sekolah rendah dan menengah terpaksa berbelanja antara RM250 ke RM500 seorang anak berikutan kenaikan harga pakaian seragam sekolah, beg dan kasut.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diagihkan kerajaan masih tidak mencukupi untuk membiayai kelengkapan sekolah dan bayaran-bayaran lain termasuk yuran.

Penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 44, berkata, kos meningkat setiap kali menjelang sekolah dibuka, iaitu harga pakaian seragam, ka­sut dan peralatan semakin mahal di pasaran.

“Pengalaman saya, untuk seorang anak sekolah rendah kita perlu menyediakan perbelanjaan minimum RM250 bagi kelengkapan persekolahan baharu tidak termasuk yuran dan belanja lain.

“Manalah mampu, sekiranya anak yang ramai untuk mengeluarkan belanja yang lebih besar lagipun kami baru sahaja boleh be­kerja selepas musim banjir Februari dan awal bulan ini,” katanya.

Penduduk Felda Kota Gelanggi 2, Masriyani Ismail, 52, pula berkata, paling membebankan adalah perbelanjaan anak di sekolah menengah kerana pakaian seragam, kain tudung (bagi perempuan) dan pakaian dalam hampir mencecah RM300 seorang tidak termasuk kelengkapan lain seperti kasut sekolah.

“Lagipun, harga pakaian sera­gam sekolah, kasut dan beg agak berbeza yang dijual di premis di bandar. Walaupun dipilih harga yang murah, tetapi perbelanjaan masih tidak mencukupi dan membebankan bagi yang berpendapatan rendah,” katanya.

Peniaga makanan itu berkata, untuk tahun ini, dia mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM700 untuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah untuk dua anaknya tidak termasuk yuran dan bayaran lain.

Sementara itu, Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak, Zulkifly Mahmud, 56, berkata, senario itu dihadapi golongan B40 dan pekerja awam yang hanya cukup untuk belanja keperluan dapur setiap bulan.

“PIBG di sini sebelum ini cakna dengan pelajar dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan, tetapi sejak kenaikan harga barang, kita tidak ada lagi dana untuk membantu kerana menyumbangkan program lain di sekolah sepanjang tahun lalu.

“Sebelum ini, ada pihak ter­tentu yang membantu dana bagi sumbangan bagi pelajar miskin, tetapi sejak dua tahun lalu ‘kantung’ PIBG agak tenat untuk membantu aspek kebajikan mereka yang memerlukan,” katanya.

Zulkifly berkata, kerajaan disaran mewujudkan ketetapan harga pakaian seragam, kasut sekolah dan sebagainya khususnya bagi golongan B40 dan penjawat awam bergaji kecil untuk berbelanja ke­perluan setiap kali sesi persekolahan mula dibuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya