ALOR SETAR: Sebuah kafe di Hutan Kampung, di sini yang menghidangkan menu utama sarapan berupa minuman kopi O yang dimasak dalam cerek hitam di atas dapur kayu kini menambat selera orang ramai.
Pemilik Kafe Kopi O Kampung, Ruslin Long, 68, berkata, walaupun baru beroperasi sejak awal tahun lepas, premis berkenaan menjadi tumpuan untuk menikmati minuman kegemaran ramai itu.
“Saya guna kaedah lama memasak air kopi ini iaitu cerek dan dapur kayu api. Rasanya memang berbeza kerana aroma dapur kayu ini. Selain biji kopi yang saya gunakan tulen kerana tiada campuran bahan lain.
“Setiap hari kafe ini menjual 100 sehingga 200 cawan kopi yang dihidangkan bersama tiga keping biskut atau di Kedah dipanggil roti empat segi. Inilah cara orang dulu-dulu nikmati kopi, itu juga tujuan saya usahakan kafe ini untuk kembalikan nostalgia,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Ruslin yang juga pemilik syarikat percetakan, dekorasi kafe yang dipenuhi dengan barang lama itu juga menambah suasana klasik.
“Kedai ini saya buat sikit demi sedikit guna dekorasi barang lama dan barang antik. Selain menikmati kopi O cara lama mereka juga akan dihidangkan suasana lama.
“Cawan kopi juga saya pilih yang klasik selain menggunakan cerek yang diubah suai. Selain kopi O, roti bakar juga dimasak menggunakan dapur kayu,” katanya.
Tambahnya, idea untuk menampilkan kafe berkonsepkan klasik seperti itu timbul daripada minatnya yang gemar mendaki dan berkhemah di kawasan gunung sebelum ini.
“Kalau bermalam di gunung memang inilah cara yang kita gunakan untuk masak kopi dan rasanya memang sedap. Hanya penggemar kopi saja yang tahu. Alhamdulillah, cara ini dapat sambutan.
“Selain kopi O, kafe ini juga menjual pelbagai jenis menu sarapan lain daripada nasi lemak, ubi kayu rebus, kuih-muih dan kek,” jelasnya yang pernah mereka cipta bahtera diraja bagi perarakan Sultan Kedah pada 2018 dan 2008.
Menurut seorang pelanggan, Aziz Ali, 43, dia dan rakan-rakan sering berkunjung ke kafe tersebut untuk bersarapan sebelum ke pejabat pada pukul 10 pagi di sebuah syarikat grafik di sini.
“Saya suka sebab suasana di kafe ini lain sikit. Kopi dimasak dengan cerek yang hitam atas kayu api ini jadikan saya kembali ingat suasana duduk di kampung sewaktu arwah nenek kesayangan saya buat kopi. Memang sangat nostalgia.
“Selain itu rasa kopi O pula memang terbaik. Pekat dan ada aromanya. Saya juga suka ubi kayu rebus cicah kelapa parut dan sambal bilis, itulah makanan masa saya kecil,” katanya. – UTUSAN