Koperal polis 'disamun' dibebaskan dengan jaminan

Koperal polis ‘disamun’ dibebaskan dengan jaminan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Anggota polis berpangkat koperal yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kerana memberi keterangan palsu dan berkongsi menyebar kandungan palsu yang membabitkan dirinya konon disamun Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Anggota berumur 38 tahun itu dibebas semalam sebaik pihak polis menerima arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Kedah selepas kertas siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, walaupun tidak didakwa di mahkamah atas tindakannya itu, anggota terbabit masih terikat dengan tindakan tatatertib jabatan.

“Kita menyerahkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut memandangkan anggota terbabit masih berkhidmat dalam pasukan polis,” katanya.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan seorang anggota polis membuat laporan dirinya terlibat dalam cubaan samun ketika melalui jalan pintasan Gurun-Jeniang berdekatan sebuah kilang motosikal, di sini.

Kejadian didakwa berlaku ketika dia memandu berseorangan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Petani selepas selesai tugas di Plaza Tol Gurun.

Dia kemudian memberitahu isterinya yang sedang berkursus di Kuala Lumpur selain bertindak memuat naik dalam laman media sosial Facebook hingga menjadi tular dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.

Bagaimanapun, keterangannya didapati meragukan dan anggota terbabit akhirnya mengaku dia sengaja mereka cerita sedangkan kejadian itu tidak berlaku. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya