KKM laksana Operasi Ramadan 2023 premis makanan, bazar Ramadan

KKM laksana Operasi Ramadan 2023 premis makanan, bazar Ramadan

KKM melaksanakan Operasi Ramadan 2023 melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan Operasi Ramadan 2023 serentak di seluruh negara di semua premis-premis makanan termasuk bazar ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023 melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan.

Kata beliau, ia bagi memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan juga peraturan peraturan di bawahnya.

“Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan ( PBT) masing-masing.

“Sepanjang Ramadan ini, KKM ingin menasihatkan masyarakat agar mengamalkan konsep ‘Sama-sama: Perhati dan Pilih Juadah di Bazar Ramadan’ iaitu memastikan memilih gerai bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, para peniaga juga dinasihatkan membasuh terlebih dahulu bahan mentah termasuk telur sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan berisiko tinggi untuk basi secara terlalu awal daripada waktu untuk dijual (contohnya makanan berasaskan santan dan sebagainya).

Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan menggunakan kuasa membeli dengan membeli makanan di premis yang bersih.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan adalah terkawal,” katanya.

Beliau turut memberitahu, sejak sebelum bermula bulan Ramadan, aktiviti pemeriksaan giat dijalankan di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang dilesenkan PBT.

Jelas beliau, sebagai persiapan menjelang Ramadan juga, aktiviti pemeriksaan dijalankan di premis-premis tumpuan seperti di hotel-hotel yang menyediakan bufet Ramadan, di premis pembekal bahan mentah dan premis-premis penyediaan ais.

“Kerjasama dengan PBT turut diadakan dengan mengadakan taklimat-taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar-bazar Ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan.

“Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya