Khairul Azwan puji sikap gentleman lawan - Utusan Malaysia

Khairul Azwan puji sikap gentleman lawan

KHAIRUL Azwan Harun (tengah), Ramelle Ashram Ramli (kiri) dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Mohd. Nazari Sabran selepas menang Pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, Changkat Lada di Pasir Salak semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Khairul Azwan Harun yang menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak memuji sikap terhormat atau gentleman yang ditunjukkan lawannya, Dr. Faizal Tajuddin iaitu anak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada pemilihan parti itu di sini semalam.

Khairul Azwan atau Azwan Bro berkata, beliau memuji Dr. Faizal yang tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang dibuat secara telus dan sistematik.

Menurutnya, malah sebelum pun beliau mengetahui keputusan pemilihan, Dr. Faizal sendiri datang menemuinya dan mengucapkan tahniah.

“Saya ucap terima kasih kepada sahabat saya (Dr. Faizal), inilah nilai persahabatan yang wujud antara kami berdua dan ini akan kami pertahankan,” katanya kepada pemberita selepas pemilihan parti itu di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, Changkat Lada di sini semalam.

Pada pemilihan UMNO Bahagian Pasir Salak semalam, Khairul Azwan menang dengan 342 undi makala Dr. Faizal 296 undi.

Ramelle Ashram Ramli yang merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib menang jawatan Timbalan Ketua UMNO dengan 365 undi mengalahkan Abd Halim Sameon@Luyu yang mendapat 287 undi.

Khairul Azwan yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian selepas Tajuddin digantung keahlian parti berkata, selepas selesai pemilihan, beliau mahu membina semula hubungan dalam parti tanpa mengira penyokong beliau atau bukan.

Menurutnya, beliau menerima semua Perwakilan yang membuat pemilihan semalam sebagai satu pasukan yang telah memilihnya dan mengetepikan segala berbezaan yang wujud selepas pemilihan.

“Dalam setiap pertandingan, walau ada kalah dan menang tapi saya berpegang kepada satu prinsip iaitu yang menang tak menang semua dan yang kalah tak kalah semua.

“Saya ambil pendekatan biduk lalu kiambang bertaut, kita akan bina semula hubungan. Saya minta semua ahli UMNO kembali bersama dan berpadu tenaga untuk kita mengorak langkah.

“Jangan menoleh ke belakang lagi untuk kita cipta lembaran baru, UMNO Pasir Salak yang lebih diterima, yang lebih menyeluruh dan InsyaAllah akan berjaya untuk merampas semula semua kerusi pada PRU16 nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya