Kes SRC: Mesej kepada ahli politik

Kes SRC: Mesej kepada ahli politik tiada siapa mengatasi undang-undang negara 

V. SITHAMBARAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini yang menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd, memberi mesej kepada ahli politik lain bahawa tiada seorang pun yang mengatasi undang-undang negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V. Sithambaram berkata, Najib telah menggunakan kesemua saluran dalam usahanya membuat rayuan dalam kes melibatkan SRC International selain keputusan mahkamah hari ini membawa kepada penutupan bagi kes tersebut. 

Katanya, keputusan hari ini juga menjadi bukti bahawa pertuduhan terhadapnya dibuat secara sah dan tidak bermotifkan politik seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

“Tiada kegembiraan yang lebih besar untuk pihak pendakwaan selain memastikan kedaulatan undang-undang telah diguna pakai dalam kes ini.

“Kes ini juga memberi mesej kepada ahli politik lain atau mungkin pesalah bahawa tiada orang di negara ini yang berada di atas undang-undang.

“Pendakwaan ini harus menghantar mesej yang tegas kepada semua bakal pesalah bahawa undang-undang akan mengejar anda,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di lobi mahkamah di sini hari ini. 

Pagi tadi, Najib gagal dalam permohonannya untuk dapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman.

Sehubungan itu, ruang dan peluang untuk beliau bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. terkubur.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan menyokong.

Ketua panel tersebut Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut.

Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan itu pada 6 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau memfailkan permohonan semakan tersebut atas alasan antaranya tidak mendapat perbicaraan yang adil dan berlaku konflik kepentingan membabitkan Hakim Tengku Maimun.

Pada 23 Ogos 2022, Hakim Tengku Maimun bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya