IPOH: Kes keracunan makanan di Perak meningkat hampir 100 peratus apabila merekodkan 37 kes sepanjang tahun lalu berbanding 19 kes pada 2020 dan 2021.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, setakat Februari ini sahaja, sebanyak enam kes keracunan dicatatkan dan jumlah itu dijangka akan meningkat.
Bagaimanapun katanya, kes keracunan makanan itu dalam keadaan terkawal kerana kes yang dilaporkan tidak tinggi berbanding negeri lain.
“Kes keracunan makanan di negeri ini menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun sejak keadaan negara pulih daripada pandemik Covid-19.
“Kemungkinan semasa tempoh Covid-19 tidak ramai peniaga menjalankan perniagaan, jadi kes keracunan makanan berkurangan, tapi apabila keadaan semakin pulih, lebih ramai peniaga mula berniaga, kes agak meningkat,” katanya pada Op Payung di Taman Perpaduan, Tambun di sini hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dengan kerjasama agensi lain akan terus mempergiat operasi termasuk Op Payung bagi memastikan makanan dijual peniaga adalah bersih dan selamat.
“Kita akan laksanakan Op Payung di seluruh negeri secara berperingkat terutama sebelum Ramadan ini kerana kita nak pastikan peniaga mendapat sedikit ilmu mengenai kaedah pengendalian makanan yang baik.
“Seperti pagi ini, kita buat penguatkuasaan secara mendidik dengan menekankan perkara penting seperti perlu ada suntikan dan lesen latihan pengendali bagi mengurangkan risiko berlakunya keracunan makanan,” katanya. – UTUSAN