ALOR SETAR: Kes perceraian bagi pasangan beragama Islam yang berlaku di Kedah meningkat sebanyak 23 peratus iaitu daripada 3,245 kes pada 2022 berbanding 2,586 kes, tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi sebanyak 745 kes diikuti Kota Setar (485) dan Kubang Pasu (378) bagi tempoh tahun lalu.
“Sebanyak 13,101 kes dicatatkan dalam tempoh empat tahun sejak 2019. Oleh itu di bawah portfolio saya, kita mengadakan program Raikan Cinta sebagai salah satu usaha menangani perkara ini.
“Program ini dapat memberi pendedahan kepada pasangan tentang ilmu perkahwinan, ilmu keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang suami dan isteri bagi mengekalkan keharmonian dan keutuhan rumah tangga.
“Raikan Cinta ini juga dilaksanakan sebanyak dua kali dan akan diteruskan lagi berikutan sambutan yang diterima amat tinggi. Ini menunjukkan matlamat program ini telah tercapai bagi membantu pasangan dalam membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Tambah beliau, pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah sentiasa mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan para wanita berkenaan hak-hak pembelaan dalam undang-undang.
“Penambahan ilmu pengetahuan dalam undang-undang ini dapat menghindarkan individu daripada menjadi mangsa dan menggunakan saluran undang-undang yang betul sebagai medium untuk menegakkan keadilan selain menjamin kebajikan kesejahteraan wanita.
“Di samping itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam juga menawarkan khidmat nasihat, sesi kaunseling dan motivasi secara awal untuk membantu wanita yang terkesan dalam masalah perceraian,” jelasnya. –UTUSAN