PUTRAJAYA: Kerajaan tidak sekali-kali mengizinkan sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk cuba mengadu-domba dan menghangatkan suhu kaum dan agama di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, seluruh pasukan Kabinet pimpinannya akan memastikan bahawa keamanan dan perdamaian semua kaum mesti dipertahankan sekali gus tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana usaha mengganggu-gugat keselamatan negara.
Untuk itu, beliau mengarahkan seluruh pasukan keselamatan agar berwaspada dengan pihak-pihak tertentu yang menggunakan sentimen itu dan rakyat miskin akan diupah semata-mata mahu menimbulkan kekacauan.
“Sekarangi ini (isu perkauman dan agama) dalam keadaan terkawal, tetapi ada usaha orang yang kehilangan kuasa untuk menggunakan ini demi meniup sentimen kaum dan agama.
“Sekiranya tindakan itu melampau dan mengganggu-gugat negara, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan tetap teguh dalam mempertahankan prinsip Perlembagaan Persektuan dengan menjunjung Islam sebagai agama persekutuan serta memberi ruang dan kebebasan hak agama lain seperti dijamin dalam Perlembagaan.
Jelas beliau, sekiranya timbul isu-isu berbangkit melibatkan perkara itu, maka ia perlu dileraikan dengan baik supaya jangan ada perseteruan atau prasangka termasuk isu yang dibangkitkan baru-baru ini mengenai kunjungan ke gereja.
“Ia tidak harus melibatkan kerajaan sama sekali, dan kalau ada apa-apa perlanggaran peraturan atau timbulkan sensitiviti kaum, perkara ini harus dileraikan malalui rundingan.
“Kerajaan ini adalah kerajaan yang mempunyai dasar yang jelas ke arah Malaysia Madani dan teguh dalam mempertahan nilai dan akhlak, kukuh menyanjung semangat menyatupadukan rakyat pelbagai agama dan kaum, kita inklusif.
“Jadi kenyataan tidak bertangunggjawab tidak boleh diguna pakai kerana kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa Malaysia ini harus aman, tertib dan dibangunkan oleh Melayu dan bumiputera, Cina, India dan suku-suku kaum lain,” katanya. – UTUSAN