Kerajaan tetap pertimbang kembalikan feri ikonik Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kerajaan tetap pertimbang kembalikan feri ikonik Pulau Pinang

Feri lama akan digunakan untuk mengangkut penunggang basikal dan motosikal. – GAMBAR UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat tetap mempertimbangkan supaya perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang ditamatkan pada 31 Disember 2020 dapat dikembalikan dan beroperasi semula.

Bagaimanapun menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, operasi feri ikonik itu tidak boleh dikembalikan segera dan perlu mengambil masa memandangkan banyak cabaran terpaksa dihadapi.

Antaranya, kata beliau, berkenaan projek pengubahsuaian terminal feri di kedua-dua belah bahagian pulau dan tanah besar ketika ini yang tidak lagi boleh menampung operasi feri ikonik melibatkan pergerakaan kenderaan empat roda.

“Kita sedar memang ada permintaan daripada pengguna supaya perkhidmatan feri ikonik yang membawa kenderaan empat roda dikembalikan semula di Pulau Pinang.

“Namun, kita berdepan cabaran dari sudut operasi untuk mengembalikan segera perkhidmatan ini disebabkan terminal lama sudah diubah suai untuk feri baharu yang hanya dapat membawa penumpang pejalan kaki dan penunggang motosikal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selepas 126 tahun menjadi pengangkutan tertua di Pulau Pinang, perkhidmatan ikonik feri sebagai alternatif laluan dari Seberang Perai untuk ke bahagian pulau dan sebaliknya telah digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari 2021.

Bot laju baharu yang diperkenalkan itu digunakan hanya untuk membawa penumpang pejalan kaki manakala feri ikonik sedia ada hanya membawa kenderaan dua roda iaitu motosikal dan basikal.

Sementara itu, Anthony berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berhubung situasi feri ikonik yang masih wujud sama ada mahu dijadikan feri pelancongan dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak empat feri baharu yang membawa pejalan kaki dan penunggang motosikal akan mula beroperasi pada 1 Ogos ini.

Ditanya mengapa feri baharu itu tidak turut menawarkan perkhidmatan membawa kenderaan empat roda, Anthony berkata, feri baharu dengan kapasiti untuk pejalan kaki dan penunggang motosikal tersebut sudah ditempah lebih awal dan tidak boleh dibatalkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya