BACHOK: Kerajaan sedia menambah kekuatan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk sukarelawan dan Kor Siswa Pertahanan Awam (Kor SISPA) untuk membantu mangsa banjir di Johor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penambahan anggota di negeri berkenaan bergantung kepada status bencana banjir yang berlaku di satu-satu daerah selain mengikut permohonan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menurutnya, setakat ini seramai 180 anggota APM dari Kuala Lumpur dan Kedah bersama aset telah digerakan bagi tugas-tugas menyelamat di negeri berkenaan.
“Sebahagian 7,058 bekas anggota Kor SISPA yang bertauliah dan tinggal dilokasi banjir sudah melaksanakan tanggungjawab dalam komuniti.
“Hal ini terbukti apabila ilmu pertahanan awam dipraktikkan dalam komuniti di lokasi banjir termasuk menguruskan mangsa banjir ke kawasan yang tinggi dan berpindah ke masjid atau surau demi keselamatan awam tanpa menunggu arahan rasmi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan Kor SISPA peringkat kebangsaan kali ke-13 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
Seramai 902 pegawai kadet Kor SISPA dari 18 Institusi Pendidikan Tinggi dan dua Institusi Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pertahanan Awam selain pemakaian pangkat Komandan Kehormat yang baharu dilantik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Armizan memberitahu, APM memberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran Kor SISPA dengan memberi fokus kepada aspek kemahiran pertahanan awam di samping nilai-nilai positif dalam kalangan mahasiswa yang akhirnya boleh dimanfaatkan dalam komuniti khususnya membantu mangsa yang ditimpa musibah.
Katanya, dalam menangani keperluan sumber manusia yang berkemahiran dalam pertahanan awam beberapa negeri lain seperti Selangor dan Melaka turut bersiap-siaga untuk turun ke lokasi banjir.
“Langkah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah peruntukan tambahan kepada Nadma dan agensi yang terlibat adalah bertepatan untuk melaksanakan tindakan perlu membantu rakyat yang terjejas disebabkan bencana alam,” jelasnya. – UTUSAN