KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan memberi peruntukan lebih besar bagi negeri yang ditadbir pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah perbezaan ketara ketika ditadbir pembangkang selama tiga tahun sebelum ini.
Katanya, ia dibuktikan melalui pelaksanaan projek tebatan banjir di semua negeri yang terjejas tanpa mengira sama ada ditadbir kerajaan atau pembangkang.
“Saya harap fitnah seperti ini dihentikan dan Dewan Negara boleh tunjuk contoh yang baik, di mana kritikan dan teguran dibenarkan. Saya bersedia untuk membuat pindaan serta penyesuaian, tapi fitnah seperti ini tidak boleh diteruskan.
“Ini kadangkala daripada pemimpin besar, termasuk ketua parti yang menyatakan zalimya Menteri Kewangan ini yang menindas, tidak beri atau melewatkan atau mengurangkan peruntukan kepada negeri-negeri. Semua itu salah.
“Jadi, kalau kita guna hujah al-Quran, hadis dan berpakaian seperti seorang ulama tapi kalau kita buat kenyataan begini, tanggungjawab saya menjawab, bukan untuk menyerang ulama.
“Saya menerangkan bagi fakta yang salah kerana ini bertentangan dengan semangat tatakelola,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Tegas Perdana Menteri lagi, tohmahan berterusan bahawa kerajaan sedia ada menekan negeri yang tidak menyokong kerajaan, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah tidak benar sama sekali. – UTUSAN