KUALA LUMPUR: Keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang telah meluluskan usul untuk mengisytihar empat kerusi milik Perikatan Nasional (PN) dikosongkan didakwa sebagai niat untuk menghapuskan semak dan imbang untuk negeri itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia bertujuan supaya kerajaan Pulau Pinang boleh melakukan apa sahaja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, kerajaan juga mahu menggunakan saluran perundangan untuk memastikan kebangkitan serta sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) dilumpuhkan, sekaligus menjadi satu titik hitam dalam sejarah negeri itu.
“Seharusnya, tunggulah dahulu sehingga pilihan raya negeri yang kita tahu dalam beberapa bulan lagi.
“Tetapi, kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meneruskan usaha yang hasilnya ialah lulus satu usul memaksa empat ADUN PN terpaksa mengosongkan kerusi.
“Saya amat kesal dengan kezaliman kerajaan DAP dan UMNO Pulau Pinang. Ketakutan DAP dan UMNO terhadap kebangkitan rakyat dan sokongan rakyat terhadap PN semakin jelas,” katanya semasa sidang akhbar di Parlimen hari ini.
DUN Pulau Pinang hari ini telah meluluskan usul untuk mengisytiharkan empat kerusi yang disandang PN dikosongkan. Empat kerusi itu ialah Seberang Jaya (Dr. Afif Bahardin), Sungai Acheh (Zulkifli Ibrahim), Bertam (Khaliq Mehtab Mohd Ishaq) dan Teluk Bahang (Zolkifly Md Lazim).
Keempat-empat mereka bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dua daripada mereka, Afif dan Zulkifli, daripada PKR tetapi kemudiannya menyertai Bersatu. Khaliq dan Zolkifly adalah dari Bersatu, tetapi parti itu telah keluar daripada PH pada 2020.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, usul itu dibentang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Perkara 14A dalam perlembagaan Pulau Pinang yang melarang lompat parti yang diluluskan pada 2012 adalah sah dan konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.
Usul itu yang dibentangkan oleh ADUN Pinang Tunggal, Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman (PKR) diluluskan dengan undi suara majoriti wakil rakyat di dewan negeri.
Kesemua mereka dilaporkan meninggalkan bangunan DUN kira-kira pukul 1 petang tadi tadi selepas diarahkan berbuat demikian oleh Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, sebaik sahaja usul itu mendapat sokongan majoriti ADUN.
Awal hari ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata usul supaya empat wakil rakyat PN mengosongkan kerusi mereka tidak sepatutnya dikenakan kepada ADUN Bersatu kerana mereka tidak melompat parti.
Menurut Razali, wakil rakyat itu dipilih pada pilihan raya umum 2018 sebagai sebahagian daripada Bersatu dan kekal dalam parti itu sehingga kini.
Secara keseluruhan, seramai 12 ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu termasuk Chow Kon Yeow (DAP-Padang Kota): Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak); Lee Chun Kit (DAP-Pulau Tikus); Muhammad Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir) dan M. Satees (DAP-Bagan Dalam) dan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas- Penaga). –utusan