KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi menetapkan 18 April untuk keputusan rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas kes penggunaan dokumen palsu untuk menipu.
Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Pada 26 Mei lalu, Peter dipenjara tiga tahun dan denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tujuh tahun lalu.
Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014
Perayu didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – UTUSAN