BATU KAWAN: Keputusan akhir Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) untuk projek Penang South Island (PSI) yang dijadual dimuktamadkan bulan ini bagaimanapun masih belum dapat ditentukan buat masa ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya bagaimanapun menjangkakan keputusan itu akan diperoleh dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Ya, kita ada buat ‘submission’ (penyerahan EIA) pada bulan Januari (lepas) dan saya tak pasti tamat tempohnya bila.
“Tapi, ‘evaluation’ (penilaian) projek itu memang ‘ongoing’ (masih berjalan) ketika ini,” katanya kepada pemberita ketika hadir pada majlis perasmian Karnival Alam Kita 2023 di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu ialah Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Ini kali ketiga EIA untuk projek itu dihantar selepas ia ditolak sebelum ini dan kini di peringkat penilaian semula di Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kelulusan EIA bergantung kepada pihak yang meluluskan iaitu penggerak projek selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal itu.
Katanya, jika laporan yang dikemukakan itu tidak ‘longgar’, EIA untuk PSI pastinya tidak akan disemak atau dinilai lebih daripada sekali.
“Proses (EIA) itu agak ‘rumit’, namun bergantung kepada sokongan yang diterima sama ada untuk meneruskan projek tersebut atau sebaliknya,” katanya yang memberitahu, pihaknya sedang cuba menambah baik proses tersebut agar menjadi lebih efektif pada masa depan.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan komited untuk menyiapkan projek-projek yang menjadi keutamaan seperti tebatan banjir seperti yang diluluskan menerusi peruntukan sebanyak RM15 bilion oleh kerajaan sebelum ini.
“Apabila kerajaan baharu dipilih, kita tengok balik projek itu.
“Saya ingat PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada sebut semalam, apa yang dijimat itu kita boleh ‘spend’ (guna) untuk projek lain. Kita tak nak membazir sebab projek-projek tebatan banjir ini sebagai contoh ‘high in demand’ (mendapat permintaan yang tinggi),” kata beliau. – UTUSAN