Keputusan berundur demi agenda khemah besar belia Melayu

Keputusan berundur demi agenda khemah besar belia Melayu

MUHAMMAD ZULHILMI MOHD. SHE FEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiausaha Pejuang Muda, Muhammad Zulhilmi Mohd. She Fee antara lebih 70 ahli meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana tidak lagi selari dengan pendirian parti berkenaan.

Surat perletakan jawatan dan pemberhentian sebagai ahli parti tu dihantar kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah pada Isnin lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Zulhilmi berkata, keputusan berundur adalah demi meneruskan agenda khemah besar belia Melayu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang mana penyatuan belia-belia Melayu seluruh negara digerakkan ke seluruh negara.

Katanya, antara yang terawal akan dilaksanakan adalah program Iftar Perdana Bersama Negarawan pada 8 April ini yang menghimpunkan kumpulan sasaran sehingga 500 orang belia termasuk tokoh-tokoh Melayu dan kepemimpinan belia seluruh negara.

 “Apabila Pejuang sudah awal lagi melalui keputusan-keputusan dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Eksekutif Pusat menyatakan tidak ingin menjadi kerajaan, cuma ingin menjadi sebahagian kerajaan, apalah sangat boleh dilakukan dengan empat, lima atau enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen?

“Oleh itu, saya rasakan tidak lagi sesuai bersama Pejuang kerana untuk menjayakan penyatuan ini memerlukan satu parti yang berkeazaman menjadi kerajaan dan berkuasa mengubah dasar,” katanya di sini semalam.

 Awal Februari lalu,  Dr. Mahathir mengambil keputusan keluar daripada parti yang diterajui anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu kerana tidak bersetuju dengan tindakan Pejuang keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

 Turut meninggalkan Pejuang bersama bekas Perdana Menteri itu adalah 13 pemimpin lain antaranya Timbalan Presidennya, Marzuki Yahya; bekas ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan, Afiqah Mohamad, Nurhairi Rahmat, Fyzul Adzwan Mustafa Kamal, Mohamad Jani, Ahamed Basheer, Azman Mohd Hashim, Mohd Jefrie Hussin, Armin Baniaz Pahamin dan Wan Azliana Wan Adnan.

Menurut Muhammad Zulhilmi, untuk mengubah nasib belia Melayu, ia memerlukan kuasa dan kebersamaan semua belia Melayu termasuk keazaman mendapatkan kuasa untuk menulis, mengarah dan menentukan supaya dasar-dasar yang dapat membantu belia Melayu.

Beliau berkata, belia Melayu serik dipergunakan ahli politik tidak bertanggungjawab yang hanya menagih undi mereka ketika pilihan raya, namun setelah mendapat kuasa, belialah yang paling dipinggirkan, apatah lagi majoriti belia adalah orang Melayu.

“Untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu, ia bukan cukup sekadar melalui usaha kecilan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu, atau badan-badan tertentu, apatah lagi parti politik Melayu.

 “Namun ia menuntut seluruh belia Melayu bangkit mengundi, keluar mengundi dan meletakkan semula paksi kepimpinan yang memartabatkan nasib orang Melayu, khususnya belia,” katanya.

 Justeru, beliau mempersoal apakah yang belia boleh harapkan daripada Pejuang untuk membela dan memperkasa nasib mereka sekiranya Pejuang sendiri pun tiada kuasa vokal dalam gabungan kerajaan jika memenangi pilihan raya negeri (PRN) bahkan pilihan raya umum (PRU) sekalipun.

 Katanya, itulah yang akan ditekankan sehingga lah penyerahan Memorandum Belia Melayu negara pada bulan Ogos tahun ini, sebelum agenda mega bermula daripada khemah besar belia Melayu menuju ke PRU16 akan mencapai kemuncaknya sebelum penghujung tahun 2023.

 Ia melalui penganjuran Kongres Belia Melayu yang bakal membentuk gelombang terbesar dalam sejarah anak muda Melayu demi menyelamatkan masa depan negara, bangsa, dan tanah air.

 “PRU16 adalah pentas terbesar dalam menentukan nasib bangsa, dan jika belia Melayu tidak terlibat sekarang, kita bakal melihat belia melayu akan jauh lagi ketinggalan dari segi ekonomi, taraf sosial.

“Malah lebih teruk, kita akan malu diperlekehkan kaum lain kerana miskin, mundur dalam pelajaran, lemah dalam ekonomi walhal kita berpijak di tanah sendiri, menjunjung langit sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya