BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pengangkutan akan memastikan setiap stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di seluruh negara dilengkapi kemudahan asas seperti lif.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perkara itu menjadi keutamaan pihaknya dalam usaha menambah baik serta menaik taraf kemudahan yang terdapat di stesen berkenaan.
Menurut beliau, kemudahan lif penting untuk kegunaan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta wanita mengandung.
“Saya tahu ada sesetengah stesen tidak ada lif dan ini memang masalah. Saya ada berjumpa seorang wanita mengandung dan disebabkan tidak ada lif, dia setiap hari perlu gunakan laluan khas.
“Kebanyakan stesen KTM sekarang ada dua platform dan sepatutnya ada lif di kedua-dua bahagian. Jadi, lif ini memang satu keperluan,” katanya kepada pemberita di Stesen KTMB Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Tambah beliau, langkah untuk menaik taraf stesen-stesen KTM pula memerlukan perbincangan lanjut kerana melibatkan banyak sumber selain peruntukan tinggi.
“Bagaimanapun, kita akan bincang perkara ini dengan RAC (Perbadanan Aset Keretapi) untuk mencari solusi dalam menaik taraf stesen-stesen KTM ini pada masa depan,” ujar beliau.
Terdahulu, Anthony meluangkan masa menggunakan perkhidmatan tren KTM Komuter Utara dari Butterworth ke Bukit Mertajam bagi mendapatkan maklum balas pengguna selepas kekerapan perjalanan ditambah kepada 36 kali sehari berbanding 26 perjalanan sehari sejak 18 Februari lalu.
Menurutnya, rata-rata pengguna yang ditemui berpuas hati kerana pertambahan perjalanan atau ‘trip’ itu menjimatkan waktu menunggu sehingga satu jam sekali gus memberi lebih masa untuk keluarga.
“Sebelum pelaksanaan inisiatif ini (pertambahan trip), jumlah penumpang secara purata yang menggunakan perkhidmatan itu ialah sekitar 10,480 orang. Bagaimanapun, ia meningkat kepada 11,224 sejak lebih seminggu lalu,” jelas beliau.
Dalam perkembangan lain, Anthony memberitahu, pihaknya sedia berbincang dan berunding dengan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan sistem pengangkutan awam baharu iaitu transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang.
“Memang kita tahu sebagai lokasi tumpuan, George Town berdepan kesesakan jalan raya teruk dan kerajaan negeri memang berharap membina sistem LRT.
“Bagaimanapun, kita masih berunding dan ia tertakluk kepada hasil perbincangan,” katanya. – UTUSAN