Kempen derma darah di 30 masjid   - Utusan Malaysia

Kempen derma darah di 30 masjid  

DR. Kasemani Embong (dua, kanan) menyampaikan cenderahati kepada seorang pembantu perubatan yang menderma darah pada majlis sambutan Hari Pembantu Perubatan peringkat negeri Terengganu di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS : Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan bekerjasama dengan 30 buah masjid untuk melaksanakan kempen menderma darah pada Ramadan depan. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kempen tersebut akan diadakan pada waktu malam selepas umat Islam selesai menunaikan solat sunat Terawih.

Menurutnya, sasaran yang ditetapkan sepanjang Ramadan ialah antara 30 hingga 50 beg setiap hari.

“Unit Tabung Darah HSNZ telah mempunyai perancangan rapi untuk memastikan bekalan darah sentiasa cukup untuk menampung penggunaan sepanjang tempoh itu.

“Ketika ini, terdapat 700 beg darah di Terengganu yang boleh menampung keperluan untuk selama dua minggu dan jumlah itu adalah stabil.

“Kita optimis tidak berdepan masalah mendapatkan penderma kerana kebiasaannya, ramai yang sudi tampil menderma darah sepanjang Ramadan terutama aktiviti amal yang melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Pembantu Perubatan peringkat negeri Terengganu di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah Shah di sini, hari ini.

Sebanyak 150 beg darah berjaya dikumpul daripada pembantu perubatan pada majlis tersebut.

Tambahnya, Terengganu juga bersedia membantu mana-mana negeri yang berdepan masalah kekurangan bekalan darah sekiranya memerlukan.

“Tindakan proaktif sentiasa dilakukan Unit Tabung Darah HSNZ dalam memastikan stok bekalan darah ini mencukupi bukan sahaja untuk penggunaan di Terengganu, malah sedia menghantarnya ke negeri-negeri lain jika ada kecemasan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya