Kemeriahan demokrasi walaupun UMNO dikatakan malap - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Kemeriahan demokrasi walaupun UMNO dikatakan malap – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi memasukkan kertas undi Pemilihan UMNO pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pemilihan UMNO yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini sebagai ‘kemeriahan demokrasi’ apabila ramai yang menawarkan diri bertanding walaupun parti itu dikatakan mengalami kemalapan.

Menurutnya, disebalik pelbagai tuduhan terhadap UMNO termasuk parti itu kini melalui zaman ‘malap’, namun ramai yang bertanding termasuk tokoh yang terkenal.

Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bahagian berkata, ini terbukti apabila 160,000 perwakilan di seluruh negara memilih 95 calon yang bertanding Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), lapan calon Naib Presiden dan 10 calon Timbalan Pengerusi Tetap.

“Dalam pengamatan saya, kemeriahan demokrasi sedang berjalan dalam UMNO walaupun dikatakan UMNO sebuah parti yang telah mengalami kemalapan.

“Jelas terlihat dalam pertandingan kali ini ramai yang mahu menawarkan diri sama ada tokoh itu telah dikenali ataupun sedang dikenali atau tidak dikenali langsung.

“UMNO sangat demokratik di mana kaedah untuk menjadi calon hanya perlu mendaftarkan diri dan cukup tempoh untuk melayakkan mereka sebagai calon,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Ahmad Zahid berharap keputusan Pemilihan UMNO hari ini yang dibuat oleh 191 bahagian parti itu di seluruh negara merupakan satu langah penting untuk hala tuju UMNO Bangkit 2.0.

Menurutnya, kepimpinan yang akan dipilih di semua peringkat iaitu peringkat nasional dan bahagian diharapkan supaya berjalan sederap dan bekerja dalam satu pasukan untuk UMNO menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Harapan saya agar kita memilih calon yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik agar kita tak salah pilih kali ini.

“Biarpun saya meraikan perbezaan pandangan dan pendapat tetapi kita jangan harus berbeza pendirian apabila parti membuat keputusan terutama keputusan yang besar.

“Saya amat perlukan pada kali ini Ahli Majlis Tertinggi yang terpilih dapat menyokong dari bukan sahaja dari segi organisasi tetapi juga menggamit semula sokongan rakyat khususnya pengundi dan pengundi yang menjadi sasaran kita ialah pengundi muda dan 18 tahun ke atas ,” katanya.

Sementara itu, mengenai kekalahan anak beliau, Datuk Nurulhidayah dalam pemilihan untuk jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk, Ahmad Zahid berkata, keputusan itu memperlihatkan walaupun beliau adalah Ketua Bahagian dan Presiden UMNO, beliau tidak campur tangan untuk pemilihan di peringkat bahagian dan di semua peringkat.

“Saya mengambil langkah-langkah profesional agar kepimpinan tertinggi tidak perlu campur di dalam pemilihan ini.

“Sebagaimana yang saya seru, pilihlah yang terbaik di kalangan yang baik-baik termasuk anak sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya