Kembara Perpaduan Malaysia MADANI perkasa keharmonian - Utusan Malaysia

Kembara Perpaduan Malaysia MADANI perkasa keharmonian

DATUK Aaron Ago Dagang (kanan) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim melihat dokumen Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang dipamerkan sempena pelancaran Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani di Dataran Muzium Negara Kuala Lumpur. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melancarkan program Kembara Perpaduan Malaysia MADANI sebagai salah satu inisiatif melalui Belanjawan 2023 dalam usaha memperkasa agenda perpaduan negara serta integrasi nasional.

Program ini selaras dengan Ikhtiar 11 Menjamin keharmonian dan perpaduan rakyat yang disebut oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia, Menteri KPN, Datuk Aaron Ago Dagang memberitahu program tersebut akan dilaksana menerusi tiga kluster utama bagi memastikan dapatan holistik.

Tiga kluster utama itu termasuk Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti RAHMAH.

“Pelaksanaan program di bawah Kembara Perpaduan Malaysia MADANI akan menggunakan whole of government approach iaitu kerjasama antara agensi Kerajaan merentasi sempadan portfolio dalam meneraju agenda perpaduan negara yang selari dengan pembangunan Malaysia MADANI.

“Progam ini dijangka membawa impak yang besar kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pelbagai pengisian program yang dapat memperkukuh jalinan muhibbah dan ikatan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Saya juga menyeru agar seluruh rakyat dapat terus menghayati konsep Perpaduan Dalam Kepelbagaian dan mengamalkan nilai toleransi dalam membina masyarakat MADANI yang bersatu padu dan berdaya saing,” katanya ketika ditemubual di Muzium Negara baru-baru ini.

DATUK Aaron Ago Dagang bermain dengan alat muzik tradisional Sarawak, Engkerumong sempena pelancaran Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani.

Berkenaan tiga kluster utama Kembara Perpaduan Negara, Program Semarak Kenegaraan dilaksanakan bagi memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui usaha memartabatkan Rukun Negara. Ia dirangka bagi memupuk semangat jati diri dan cintakan tanah air.

Sementara itu, Program Semarak Perpaduan bertujuan untuk meraikan perbezaan dalam kepelbagaian melalui elemen seperti kebudayaan, pendidikan serta rekreasi.

Kluster ketiga iaitu Program Komuniti RAHMAH pula memberi pendekatan untuk memangkin kesejahteraan serta keharmonian komuniti meliputi aspek ekonomi, pendidikan, agama, kesihatan, kenegaraan, kebudayaan dan alam sekitar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kementeriannya telah membangunkan Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI yang begitu komprehensif meliputi peranan pelbagai pihak dalam mencapai aspirasi Malaysia MADANI.

“Kerangka yang berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan ini akan menjadi garis panduan untuk kita memastikan matlamat untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tercapai,” jelasnya.

Ketika diajukan mengenai tahap perpaduan negara pada masa ini, Datuk Aaron menjelaskan bahawa Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) yang dilaksanakan secara bersama dengan Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengukur tahap perpaduan dan keharmonian negara menunjukkan pencapaian 0.629 pada tahun 2022 dengan peningkatan 0.062 peratus berbanding nilai indeks 0.567 yang dicapai pada tahun 2018. Indeks ini menunjukkan perpaduan berada pada tahap sederhana dan terkawal.

Selain itu, Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit itu turut menyentuh tentang pengaruh media sosial kepada perpaduan kaum dalam negara susulan peningkatan penggunaan platform digital kebelakangan ini.

“Pengaruh media sosial ada yang positif dan negatif. Melihat sudut positifnya, penyampaian maklumat kini lebih pantas dan mesej terutamanya dari pihak Kementerian mudah untuk disalurkan.

“Bagaimanapun, penting untuk kita ambil kira penyebaran mesej dan kenyataan provokatif termasuk yang bersifat perkauman serta maklumat tidak sahih disebar luas tanpa usul periksa menerusi media sosial.

“Ini masanya untuk rakyat menjadi lebih peka dan bertanggungjawab dalam mengenalpasti berita-berita sedemikian. Adalah menjadi peranan kita untuk tidak mengapi-apikan sesuatu isu yang boleh menggugat keharmonian masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya