Kedah lulus akta anti lompat parti

Kedah lulus akta anti lompat parti

SIDANG DUN Kedah meluluskan akta melarang wakil rakyat melompat parti di negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman (Pindaan) 2023 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.

Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat selepas proses pengundian RUU tersebut yang dijalankan sebentar tadi.

Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir secara sebulat suara menyokong pindaan rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Terdahulu, terdapat lima ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan didahului Ketua Pembangkang, Datuk Zamri Yusuf (PH-Suka Menanti), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jitra), Mohd. Azam Abd. Samat (PN-Sungai Limau), Datuk Norsabrina Mohd. Noor (BN-Bandar Baharu) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit).

Zamri dalam perbahasannya menyifatkan RUU tersebut merupakan permulaan sangat bermakna dan bersejarah buat negeri ini.

“Kesannya akan memberi pengertian mendalam kepada bentuk moral dan integirti kerana ADUN tidak boleh lagi melompat, menjual maruah atau khianat sesuka hati. Pindaan ini juga secara tidak langsung mampu menangani gejala yang menjurus kepada keyakinan pengundi,” katanya.

Mukhriz pula menyifatkan RUU tersebut perlu diluluskan kerana ia akan menjadi sebahagian daripada proses penambah baikan demokrasi di negeri ini.

“Lebih-lebih lagi apabila amalan lompat parti kian menjadi-jadi tidak hanya di Parlimen, malah di negeri-negeri lain. Tindakan meluluskan RUU ini akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai khususnya anak muda yang baru mengenali politik,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya