SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri sedang membangunkan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Kulim dan Bukit Kayu Hitam bagi memastikan kehidupan pekerja industri yang lebih kondusif pada masa depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keperluan itu juga selaras dengan matlamat kelapan pembangunan mampan (SDGs) iaitu pertumbuhan ekonomi dan kerja yang baik.
Katanya, projek di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu turut akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada komuniti setempat.
“Kalau kita lihat semasa Covid-19 dahulu apabila berlaku masalah seperti itu (penempatan pekerja), Kementerian Sumber Manusia mendedahkan kediaman pekerja industri macam sarang burung merpati, duduk dalam kontena yang tidak sesuai langsung.
“Dalam kehendak baru beberapa negara di dunia selain tenaga boleh diperbaharui, ianya turut mensyaratkan penempatan pekerja yang kondusif untuk kehidupan. Jadi CLQ adalah keperluan kepada industri pada masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Bandar Saujana Putra di sini, hari ini.
Projek Bandar Saujana Putra ini bakal dibangunkan di atas kawasan seluas 1,400 ekar secara usahasama antara PKNK dan Oriental Interest Berhad (OIB) yang merangkumi kawasan perumahan dan industri serta komersial.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, PKNK telah membangunkan sembilan kawasan perindustrian dengan jumlah keluasan mencecah 10,000 ekar yang menyediakan lebih 180,000 peluang pekerjaan.
“PKNK sangat sinonim dengan pembangunan kawasan industri dan komersial di negeri ini. Bermula dengan pembangunan Kawasan Perindustrian Tikam Batu pada tahun 1985 sehingga yang terkini pembangunan Kedah Science & Technology Park (KSTP) di Bukit Kayu Hitam.
“Antara kawasan perindustrian yang tersohor di Kedah adalah Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang telah dibangunkan oleh PKNK pada tahun 1996 dan sehingga kini telah membawa masuk pelaburan asing dan tempatan melebihi RM100 bilion,” katanya. –UTUSAN