Kedah Aerotropolis: Ketika permohonan dibuat menteri dan PM orang lain

Kedah Aerotropolis: Ketika permohonan dibuat menteri dan PM orang lain

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan jawapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa tiada permohonan projek Kedah Aerotropolis dibuat oleh kerajaan negeri itu adalah palsu.

Dalam tulisan di Facebook miliknya, Muhammad Sanusi berkata, semua proses yang perlu dipenuhi sudah dilakukan yang ketika permohonan, pembentangan dan rundingan itu dibuat menterinya bukan Anthony Loke.

“PM (Perdana Menteri) bukan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Adakah kerana orang politik dalam kerajaan bertukar, semua fail lama telah tidak laku atau hilang? Pembentangan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sudah dibuat pada Ogos dan November 2020.

“(Kita) sudah terima lapan nasihat yang sedang dipenuhi. Walaupun Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan bertukar, tetapi semua jabatan yang bertanggungjawab masih ada di situ,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Anthony Loke menafikan kerajaan membatalkan projek Kedah Aerotropolis, sebaliknya menegaskan permohonan mengenainya tidak pernah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan atau kementeriannya.

Jelas Muhammad Sanusi, permohonan dan pembentangan kepada dua Perdana Menteri sebelum ini sudah dibuat, manakala pembentangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk dibuat penelitian oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang juga sudah dibuat masih berstatus pending.

“Permohonan untuk pembentangan kepada Perdana Menteri (Anwar) sudah dibuat melalui dua surat iaitu surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan KXP Airportcity Holding. Secara verbal juga sudah dimaklumkan kepada beliau sewaktu syarahan Kerajaan MADANI pada 19 Januari lalu.

“Saya juga dimaklumkan oleh Sultan Kedah bahawa Baginda sendiri telah bertitah kepada Perdana Menteri tentang keperluan projek ini disegerakan, tetapi Perdana Menteri menyatakan kerajaan tiada keupayaan kewangan buat masa ini.

“Oleh itu, saya simpulkan beliau belum ada maklumat terperinci tentang projek ini, maka saya arahkan SUK utus surat kepada PMX untuk diadakan pembentangan dan saya juga tanda tangan surat KXP Airportcity kepada PMX sebagai Pengerusi yang statusnya ‘pending’,” katanya.

Beliau berkata, Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) sudah dibuat dan perincian itu telah dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain itu kata Muhammad Sanusi, sesi lawatan, perjanjian persefahaman, usahawasama dan pelbagai langkah lain telah dilakukan sementara menunggu kelulusan yang belum diperolehi. 

“Ini bukan kerja Pak Kadok atau Mat Jenin. Ini kerja serius. Jawatankuasa Teknikal Kedah Aerotropolis diketuai oleh Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Husin, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membangunkan KLIA dan terlibat dengan beberapa airport lain di dunia.

“Beliau diberi jolokan The Airport Man. Tak mungkin Jawatankuasa Teknikal diketuai oleh tokoh berpengalaman luas seperti ini tidak ambil kira persekitaran, tataletak dan interaksi projek dengan infrastruktur lain. Ini bukan presentation di medsos (sosial media), ini projek besar untuk negeri dan negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya