Kecewa tiga kali pembedahan tertangguh - Utusan Malaysia

Kecewa tiga kali pembedahan tertangguh

AZLIYATI Zainol bersama suami, Baharudin Bakar menunjukkan borang kemasukan ke wad HSB yang diterima setelah pembedahan tertangguh sebanyak tiga kali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang guru kecewa dengan perkhidmatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini apabila pembedahan bagi mengeluarkan batu karang pada buah pinggang kanannya tertangguh buat kali ketiga sejak dua tahun lalu disebabkan alasan yang sukar diterima.

Menurut Azliyati Zainol, 51, dia mula didiagnosis menghidap penyakit tersebut pada 2021 setelah doktor memaklumkan batu karang tersebut sudah sebesar lima sentimeter ketika itu.

Selepas beberapa rawatan susulan katanya, dia diberikan borang mendaftar masuk ke wad pada 20 Julai 2021 bagi menjalani pemeriksaan untuk dibedah dua hari kemudian.

“Namun pihak hospital tele­fon dan maklumkan pembedahan ditunda kerana tarikh itu jatuh pada Aidiladha. Saya diberikan borang tertera tarikh baharu iaitu 22 Oktober 2022 untuk masuk wad dan 24 Oktober tarikh pembedahan.

“Saya sekali lagi dihubungi pihak hospital mengatakan ia perlu ditangguhkan kerana 24 Oktober merupakan Hari Dee­pavali,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, dia diberikan satu lagi borang tertera tarikh 28 Mac 2023 untuk dimasukkan ke wad bagi menjalani pembedahan yang sepatutnya pada hari ini.

Jelasnya, dia hadir bersama suami, Baharudin Bakar, 55, ke hospital pagi kelmarin untuk mendaftar ke wad.

“Namun sekali lagi hampa.Setelah sekian lama me­nunggu, kami dimaklumkan nama saya tiada dalam senarai untuk pembedahan. Mereka beri pula tarikh baharu iaitu 23 September ini untuk saya dimasukkan ke wad dan dibedah dua hari selepas itu,” katanya.

Tambahnya, keadaan itu amat mengecewakan kerana setiap kali hadir bagi mendapatkan tarikh masuk ke wad dan pembedahan, namanya akan dica­tatkan ke dalam buku log.

“Jadi bagaimana mereka boleh katakan nama saya tiada dalam senarai? Untuk dua tarikh pembedahan awal yang jatuh pada cuti umum itu juga bukannya saya pilih sebaliknya pihak hospital yang tetapkan.

“Saya bimbang kerana pembedahan ini tertunda hampir dua tahun sedangkan pada 2021, saiz batu karang itu sudah lima sentimeter,” katanya.

Utusan Malaysia akan mendapatkan maklum balas daripada HSB me­ngenai perkara me­nimpa Azliyati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya